JPB bukan agenda pilihan raya

AHMAD ZAHID HAMIDI bersama Sahol Hamid Abu Bakar (tiga dari kiri) menyampaikan surat tawaran kemasukan ke Institut Kemahiran MARA (IKM) kepada Nurul Izzah Makale (dua dari kanan) dalam majlis penutup program Jelajah Pendidikan Bumiputera 2017 di Bagan Datuk, Perak semalam. UTUSAN/SYEFRY MONIZ

BAGAN DATUK 30 April – Program Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) yang menawarkan peluang kedua untuk meneruskan pengajian di pe­ringkat pendidikan tinggi adalah program untuk rakyat dan bukan merupakan agenda pilihan raya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebaliknya program itu bertujuan mencari, mengenal pasti serta membantu pelajar khususnya dalam kalangan keluar­ga kurang berkemampuan bagi memastikan tiada seorang pun yang tercicir.

Katanya, agenda pendidikan yang dibawa oleh kerajaan tidak bermusim dan beliau menggesa semua penerima surat tawaran dalam siri jelajah itu supaya tidak mensia-siakan peluang dengan membuktikan kecemerlangan dalam akademik selain menzahirkan kesyukuran terhadap kerajaan.

Beliau berkata, generasi akan datang juga perlu sama-sama membantu negara ke arah melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan merealisasi sasaran Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang menetapkan Malaysia menjadi 20 negara terbaik di dunia.

“TN50 bukan untuk kepentingan Perdana Menteri tetapi untuk anak bangsa. Kita ketepikan perbezaan biarpun kita Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan kerana kita adalah rakyat Malaysia bagi mencapai mobiliti sosial secara vertikal.

“Kita bukan kelawar. Musim buah, ada buah, tiada buah, kita tetap datang turun memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya yang berucap dalam majlis penutupan Jelajah Pendidikan Bumiputera 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang di sini hari.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Induk program itu, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.

Program jelajah tersebut yang berlangsung di 44 lokasi terpilih seluruh negara sejak 11 Mac lalu, telah mengeluarkan sebanyak 60,000 surat tawaran pengajian kepada pelajar mengikut kelayakan ditetapkan selain bertemu dengan kira-kira 238,000 masyarakat setempat.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menyifatkan kejayaan siri jelajah itu dalam mencapai sasaran dengan mengeluarkan puluhan ribu surat tawaran pengajian yang merupakan suatu usaha luar biasa.

“Sekarang, mereka yang berada dalam lingkungan umur 21 hingga 30 tahun telah bertambah, dulu sembilan peratus sahaja tetapi kini telah bertambah menjadi 22 peratus. Jadi, mereka inilah yang akan menentukan jatuh bangun negara dan sokongan mereka harus dimantapkan,” katanya.

Sementara itu, Sahol Hamid berkata, dua pengalaman menarik beliau sepanjang siri jelajah itu ialah membantu seorang anak petani di Lahad Datu, Sabah dan anak yatim di Jeli, Kelantan melan­jutkan pengajian yang sebelum ini tertangguh.

Sumber : http://www.utusan.com.my/berita/nasional/jpb-bukan-agenda-pilihan-raya-1.476157#ixzz4fsdoj6iz

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged . Bookmark the permalink.