BIAR JASA ‘PAK YEM’ JADI KENANGAN

TEMPOH 38 tahun berkhidmat dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bukan sekejap. Ternyata Dat uk Ibrahim Ahmad cukup setia dengan MARA.

Lebih mesra dengan panggilan Pak Yem, anak kelahiran Segamat, Johor ini bukan sahaja menganggap MARA sebagai institusi yang telah membina kerjayanya, malah beliau juga amat memahami selok-belok serta keperluan setiap jawatan yang pernah disandang selama ini.

Justeru, tidak hairanlah Pak Yem yang juga pemegang ijazah Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UK M) banyak mencurahkan idea serta pengalaman beliau sepanjang bersama MARA.

Semua itu beliau lakukan demi menggalas amanah dan tanggungjawab yang diberi bagi memastikan bangsa Melayu dan kaum bumiputera terus terbela daripada segi ekonomi dan pendidikan.

Pak Yem yang bersara wajib baru-baru ini berkongsi pengalaman beliau itu bersama wartawan Mingguan Malaysia, AZMAN ANUAR dan ABD. AZIZ ITAR.

MINGGUAN: Sepanjang 38 tahun bersama MARA, tidakkah Pak Yem berasa jemu kerana boleh dikatakan terlalu lama berada dalam sesebuah agensi kerajaan?

IBRAHIM AHMAD: Saya tidak berasa jemu kerana ia ada kaitan dengan latar belakang. Saya asalnya orang susah. Dulu datuk saya pernah berpesan, kalau saya dapat kerja kena jaga kerja itu betul-betul. Datuk saya memelihara saya sejak kecil selepas ayah saya meninggal dunia semasa kecil.

Datuk saya pesan, kalau kerja jangan buat perkara-perkara tidak senonoh. Saya sudah biasa di MARA, macam-macam kerja saya buat dari peringkat bawah sampailah ke tahap ini. Antaranya saya pernah jadi pelatih yang bekerja 14 hari 14 malam tetapi saya sabar dan puas dengan kerja itu.

Falsafah itu saya terapkan dalam MARA. Sampaikan visi-visi yang ada di MARA, saya dan rakan-rakan lain fikir dan tulis sendiri. Kami tidak gunakan pihak perunding.

Saya juga tidak membuat keputusan sendiri, sebaliknya kami banyak berbincang terlebih dahulu. Bagi saya, kerja adalah ibadah. Untuk dapat keberkatan hidup, kita kena kerja dengan amanah. Ini kerana, keberkatan itu bukannya datang cepat, mungkin esok, lusa atau tahun depan baru nampak.

Pernahkah Pak Yem tertekan dengan kerja terutama sewaktu menyandang jawatan Ketua Pengarah MARA?

IBRAHIM AHMAD: Memang ada yang di luar kawalan. Tetapi bagi saya, itu semua adalah cabaran. Ia sebagai suatu tahap untuk mengukur tahap kepimpinan saya apatah lagi apabila memegang jawatan penting seperti itu. Saya pernah disoal siasat oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) tetapi saya beri kerjasama dengan baik. Buat apa hendak takut kerana saya bukannya buat salah.

Malah, selama ini pun prestasi kerja saya cukup baik. Banyak perkara telah saya lakukan misalnya menerapkan TVET (Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional). Antaranya saya tekankan TVET dalam Giat MARA dan UniKL (Universiti Kuala Lumpur) yang mana ia mampu menyumbang sebanyak 30 peratus ke arah bekalan tenaga mahir dalam negara.

Lihat sahaja UniKL yang mempunyai kira-kira 26,000 pelajar. Ini adalah universiti swasta paling ramai pelajar di negara ini. Saya banyak menekankan bidang seperti korporat, pembuatan, peruncitan dan kontraktor dalam menyokong usaha melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam kalangan bumiputera.

Apa yang penting biarlah mula-mula makan gaji tetapi selepas ada pengalaman mereka yang keluar dari MARA jadi usahawan bagi menjana pendapatan lebih tinggi. MARA yang kini mempunyai 20 anak syarikat juga semakin berkembang pesat bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di luar negara.

MARA mempunyai banyak cawangan di luar negara seperti United Kingdom, Australia dan AS.

Apakah antara misi dan visi Pak Yem sepanjang bersama MARA yang memberi kepuasan terutama sebagai Ketua Pengarah MARA?

IBRAHIM AHMAD: Matlamat saya cukup jelas dalam memacu MARA. Empat matlamat utama yang telah saya gariskan – pertama soal pendidikan; kedua bagi melahirkan golongan profesional; ketiga menambahkan lagi bilangan usahawan daripada yang kecil sehinggalah yang besar; dan yang keempat adalah golongan mahir yang boleh menjadi rebutan dalam sesuatu industri yang diceburi.

Setiap satu cabang itu mempunyai matlamatnya yang tersendiri. Contohnya, dalam bidang pendidikan saya mahu MARA melahirkan lebih ramai pemimpin pelapis pada masa depan. Saya masih ingat lagi ketika tahun 2015 mata wang kita jatuh berbanding dolar AS tetapi soal pendidikan tidak boleh kompromi.

Walaupun nilai mata wang jatuh dan yuran pengajian naik tetapi MARA tetap meneruskan komitmen menaja para pelajar. Saya juga terlibat dalam banyak projek melibatkan MARA seperti MARA Development, MARA Investment dan MARA Care yang telah banyak membantu mengembangkan lagi operasi agensi ini dengan meraih banyak keuntungan.

Semua itu yang akhirnya adalah bagi keperluan membantu golongan bumiputera.

Sejauh mana MARA akan terus berkembang maju selepas ini?

IBRAHIM AHMAD: Saya yakin MARA akan terus berkembang maju selepas ini. Walaupun saya telah bersara, tetapi saya yakin pengganti saya, Azhar Abdul Manaf mampu untuk meneruskan misi dan visi yang telah saya tinggalkan sepanjang bersama MARA hampir 40 tahun lamanya.

Saya telah sediakan ramai golongan pelapis di MARA bagi meneruskan amanah yang diberikan oleh kerajaan bagi membela taraf hidup golongan bumiputera di negara ini.

Saya yakin MARA akan terus disegani sebagai salah satu organisasi yang bertaraf global mempunyai 566 pusat pentadbiran bukan sahaja di Malaysia tetapi merata-rata tempat di seluruh dunia. Malah, MARA juga telah menceburi banyak bidang lain seperti Aeroangkasa yang membabitkan perundingan dan kejuruteraan angkasa.

Ini adalah antara bidang yang kita sendiri pada mulanya tidak menduga MARA mampu menerokainya suatu ketika dulu. Dengan pelbagai institusi pendidikan yang ada termasuklah 52 MRSM (Maktab Rendah Sains MARA) yang terdapat di seluruh negara, ia bukan sahaja mampu melahirkan golongan pelajar cemerlang dalam pelbagai bidang tetapi juga usahawan dan pemimpin pelapis masa depan.

Akhir sekali apakah rancangan Pak Yem selepas bersara?

IBRAHIM AHMAD: Saya ini jenis orang yang tidak suka duduk diam sahaja. Saya suka bekerja, apatah lagi badan saya pun masih sihat. Namun, bak kata kawan saya yang mengatakan bahawa ‘pencen itu adalah benar’. Jadi, saya terima kenyataan itu kerana apabila sudah sampai masanya saya tetap akan pencen daripada kerjaya saya.

Tetapi di luar sana saya masih boleh menyumbang apa yang termampu. Kalau boleh selepas pencen saya mahu menyumbang idea dan tenaga dalam kerja-kerja amal misalnya melalui pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sumber : http://www.utusan.com.my/rencana/utama/biar-jasa-pak-yem-jadi-kenangan-1.475624#ixzz4fsStYt00

Advertisements
This entry was posted in Korporat and tagged . Bookmark the permalink.