PMB sasar pendapatan RM1b tahun ini

AHMAD Jazlan (tiga dari kiri) hadir merasmikan Majlis Pra-Sambutan 50 Tahun Pelaburan MARA dan Pelancaran PMB Analytics Sdn Bhd, di Kuala Lumpur, hari ini. – Foto Muhd Zaaba Zakeria

KUALA LUMPUR: Pelaburan MARA Bhd (PMB) menyasarkan pendapatannya mencecah RM1 bilion tahun ini. Ketua Eksekutifnya, Datuk Nazim Rahman, berkata sasaran itu bakal disumbangkan oleh pelbagai segmen perniagaan yang dilaksanakan oleh Pelaburan MARA.

Beliau berkata, ia termasuk menerusi aktiviti pelaburan seperti aset dan ekuiti, sukuk dan syarikat pengurusan dana.

“Malah, tahun ini kami turut menubuh satu lagi anak syarikat baharu iaitu PMB Analytics Sdn Bhd (PMB Analytics) yang dijangka meningkatkan sumbangan terhadap pendapatan syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran PMB Analytics pada Majlis Pra-Sambutan 50 Tahun Pelaburan MARA, di sini, hari ini.

Pelancaran disempurnakan Timbalan Menteri Kedua Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub. Nazim berkata, menerusi anak syarikat terbaharu itu, PMB menyasar untuk meneroka pasaran ASEAN melalui khidmat data pelaburan.

Katanya, ia selaras visi PMB Analytics untuk menjadi pengedar model pelaburan terkemuka kepada syarikat pelaburan dan kewangan di rantau Asia Tenggara. “Antara negara yang berpotensi termasuk ah Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Selain itu, kami juga bercadang untuk memasuki pasaran China, India, Australia dan New Zealand menjelang tahun 2020,” katanya. Beliau menambah, pembabitan dalam perkhidmatan data pelaburan adalah sesuai dengan strategi yang disusun syarikat.

“Ia akan meletakkan PMB sebagai konglomerat kewangan ternama berbanding hanya terbabit dalam pengurusan saham amanah saja pada awal penubuhannya,” katanya.

Sementara itu, Jazlan berkata, perkembangan dan pertumbuhan yang sihat bukan hanya akan memberi manfaat kepada PMB.

“Ia juga akan memanfaatkan Majlis Amanah Rakyat (MARA) secara keseluruhannya dari segi dividen yang dibayar dan sumbangan kepada Bumiputera khasnya dan rakyat Malaysia amnya,” katanya.

Info: * Logo sambutan 50 PMB turut dilancarkan serentak pada majlis berkenaan

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/276209

Advertisements
This entry was posted in Pelaburan and tagged . Bookmark the permalink.