MARA Liner Perluas Kerjasama Dengan Man Truck & Bas

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAD) YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Syed Hamid bin Albar memasukkan kunci replika ke dalam kotak simbolik kepada gimik Perasmian Penyerahan Bas Baharu myBAS dan Menandatangani Repair and Maintenance Contract (RMC) di Depo MARA Liner Perlis.

Oleh Zuraini Sainal

media@mara.gov.my

Kuala Perlis, 26 April – MARA Liner Sdn Bhd (MLSB) sekali lagi membuktikan keupayaanya dalam menjalinkan kerjasama di peringkat global yang mana pada kali ini subsidiari milik MARA tersebut telah menjalinkan kerjasama dengan MAN Truck & Bas (M) Sdn  Bhd (MTBM) di sini hari ini.

Majlis yang telah dirasmikan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Syed Hamid Syed Jaafar Albar, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah menyaksikan penyerahan bas baharu myBAS dan Menandatangani Repair & Maintenance Contract (RMC).

MLSB merupakan operator bagi perkhidmatan myBAS Perlis dan operasi perkhidmatannya telah bermula pada 1 Ogos 2015.  Perkhidmatan myBAS di Kangar telah meningkatkan akses dan liputan dari jumlah jarak laluan 124km kepada 337km dan sebanyak 27 bas baharu telah diperuntukkan di mana 21 buah bas akan beroperasi di 9 laluan.

Melalui kerjasama strategik ini MTBM telah melantik MLSB sebagai service partner untuk menjalankan perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan jenama MAN di empat (4) cawangan MLSB iaitu Kuantan, Alor Setar, Kota Bharu dan Perlis.

Kerjasama ini akan meningkatkan kemahiran dan kepakaran kakitangan MLSB serta pemindahan teknologi daripada pengeluar casis kenderaan komersial terkemuka dunia, MAN.

Kerjasama strategik antara kedua pihak juga adalah berdasarkan pengalaman MLSB sebagai antara penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam dan mempunyai kepakaran pengurusan penyelenggaraan kenderaan komersial.

Encik Mohd Diah Abas yang mewakili Ketua Pengarah MARA melalui ucapan alu-aluannya berkata MARA menerusi subsidiarinya MARA Liner Sdn Bhd sentiasa berkerjasama dengan pelbagai agensi dalam pembangunan luar bandar termasuklah dalam memastikan kelancaran sistem pengangkutan awam di luar bandar.

“Justeru, MARA selaku agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sentiasa menyokong ke arah usaha untuk memajukan masyarakat luar bandar. Ini selaras dengan motto Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah iaitu “Membandarkan Luar Bandar” tambahnya.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Pengarah Urusan MAN Truck & Bas Mr Hartmut Mueller, Pengerusi MLSB Dato’ Said Ali Said Rastan, Ketua Pegawai Operasi Encik Zahrail Affenday, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perlis YB Tuan Haji Mat Haji Hassan dan Pengarah MARA Perlis Encik Zahari Aziz.

Advertisements
This entry was posted in Berita Kejayaan and tagged , . Bookmark the permalink.