PMB Serah Zakat Perniagaan RM20,000 Kepada MAIPs

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Holger Michael (belakang, tiga dari kanan), Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin (belakang, kanan) serta murid tahun enam mengikuti Klinik Bahasa Inggeris sempena kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf Ke-24 di Arau, Perlis, kelmarin.

ARAU 23 April – Pelaburan MARA Berhad (PMB) menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM20,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulannya, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalul­lail selaku Yang Dipertua MAIPs berkenan menerima zakat tersebut pada program Mara Santuni Asnaf bersama MAIPs di Surau Kampung Belat Batu di sini semalam.

Yang turut hadir Duta Besar Jerman ke Malaysia, Holger Michael yang dalam rangka lawatan kerja ke Perlis selama dua hari; Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor; Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Mara, Zulfikri Osman dan Pengarah Mara Perlis, Zahari Aziz.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata, penyerahan zakat itu untuk diagihkan kepada 30 asnaf terpilih bagi mengurangkan beban mereka yang antaranya terdiri daripada ibu tunggal, pelajar kurang berkemampuan dan fakir miskin.

Selain itu, GiatMara turut mengambil inisiatif membaik pulih tiga buah rumah asnaf yang rosak melibatkan kos sebanyak RM12,000 selain mengadakan gotong-royong di tiga rumah asnaf terpilih yang di­sertai 60 pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Beseri, Institut Kemahiran MARA (IKM) Beseri dan GiatMara Perlis.

Antara aktiviti lain yang diadakan sepanjang program itu ialah Klinik Bahasa Inggeris bagi meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris oleh tenaga pengajar dan pelajar Kolej Universiti Polytech Mara (KUPTM) kepada 26 murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Jelempok, di sini.

Mereka turut menyertai kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf Ke-24 tahun ini sejauh 16 kilometer (km) yang turut disertai Raja Muda Perlis.

Peserta kayuhan turut meluangkan masa singgah di Bengkel Kuah Rojak milik D’ Unique Style di Kampung Chermai Jelempok di sini.

Sumber : http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/perlis/pmb-serah-zakat-perniagaan-rm20-000-kepada-maips-1.472870

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain and tagged , . Bookmark the permalink.
%d bloggers like this: