Impian Miliki Rumah Jadi Kenyataan

Mustaffar Kamal menyampaikan replika kunci kepada Zakaria pada majlis penyerahan rumah tersebut

KUANTAN – Ekoran kekangan kewangan, impian untuk memiliki rumah sendiri tergendala sehingga beberapa tahun.Bagaimana pun, melalui  Projek Bantuan Rumah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ini, penantian keluarga Zakaria Osman, 47, kini menjadi kenyataan.

Menurutnya, dia membuat permohonan pada tahun lalu selepas rumah sewa yang didiaminya sering dilanda banjir.

“Saya juga mengambil inisiatif membina rumah di atas tanah pusaka, namun gagal disiapkan sejak dua tahun lalu disebabkan masalah kewangan.

“Apabila dimaklumkan saya layak menerima bantuan ini, saya amat bersyukur kerana dapat memiliki rumah sendiri,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan rumah ada Program Penyerahan Rumah oleh GiatMara Indera Mahkota, di Kampung Sungai Karang Darat, hari ini.

Hadir membuat penyerahan, Ketua Umno Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid. Turut hadir, Pengurus GiatMara Indera Mahkota, Zulkiflee Mohamad.

Zakaria yang bekerja sebagai tukang cat berkata, dia dan isteri, Norliza Ahmad, 40, dan lima anak sudah berpindah ke rumah berkenaan sejak beberapa minggu lalu.

“Kami amat gembira dan berterima kasih kepada pihak kementerian dan GiatMara yang menjadikan impian kami satu kenyataan,”katanya.

Sementara itu, Zulkiflee berkata, pihaknya akan membuat penilaian di atas setiap permohonan yang diterima sebelum bantuan diberikan.

Katanya, keluarga yang berpendapatan rendah dan mempunyai tanah sendiri antara kriteria yang ditetapkan.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/pahang/impian-miliki-rumah-jadi-kenyataan-1.664624

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain and tagged , . Bookmark the permalink.