Luas Jaringan Perniagaan

Yusof Yacob (dua dari kanan) bersama penerima anugerah dalam Majlis Apresiasi Usahawan MARA di Kuantan, Pahang, malam kelmarin.

KUANTAN 16 April – Kewujudan direktori UsahawanMARA.biz yang dilancarkan Majlis Amanah Rakyat (MARA) Pahang akan memberi akses lebih mudah kepada semua pihak untuk mendapatkan data usahawan di negeri ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usahawan juga boleh menggunakan direktori berkenaan untuk meluaskan jaringan perniagaan mereka.

“Direktori berasaskan laman web ini bagi memperkasakan perniagaan usahawan. Mengikut rekod, seramai 1,259 usahawan sudah berdaftar di portal direktori ini,” katanya dalam Majlis Apresiasi Usahawan MARA negeri, di sini malam semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Sementara MARA, Datuk Dr. Yusof Yacob.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan ne­geri, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin dan Pengarah MARA negeri, Kamaruddin Awang.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, MARA negeri mengadakan pelbagai program bagi membangunkan usahawan seperti menyediakan 583 lot sebagai kemudahan untuk menjalankan pelbagai teras perniagaan.

Beliau berkata, agensi ber­kenaan sedang berusaha membangunkan produk keluaran luar bandar seperti yang dihasilkan daripada mengkuang untuk pasaran di dalam dan luar negara.

“Sebuah inkubator bagi pembangunan produk mengkuang telah diwujudkan di Bera, dekat sini. Kewujudannya akan mengfokuskan kepada latihan dan penghasilan produk mengkuang,” katanya.

Berhubung Majlis Apresiasi Usahawan MARA negeri, beliau berkata, penganjurannya bertujuan menghargai dan mengiktiraf kira-kira 800 usahawan yang menerima kemudahan agensi itu sama ada dalam bentuk latihan, pembiayaan ataupun penyewaan premis.

Kata beliau, pengiktirafan dan penghargaan tersebut diharap memberi rangsangan dan doro­ngan kepada kelahiran usahawan yang berdisiplin dan berjaya supaya menjadi contoh kepada usahawan bumiputera lain.

Sumber : https://www.utusan.com.my/berita/wilayah/pahang/luas-jaringan-perniagaan-1.470145

Advertisements
This entry was posted in Berita Kejayaan and tagged , . Bookmark the permalink.