MoU MARA-ACCA Perkukuh Kedudukan Pelajar IPMa Dalam Bidang Perakaunan

thumbnail_IMG-20170411-WA0040

Datuk Ibrahim Ahmad bertukar MoU dengan Mr Alan Hatfield, Pengarah Eksekutif Pembangunan dan Strategi, ACCA.

Oleh Rahizul Zulhim

media@mara.gov.my

KUALA LUMPUR 11 APRIL –  Bagi menyokong pembangunan ekonomi global dan Malaysia khususnya, Majlis Amanah Rakyat (MARA) turut memainkan peranan ke arah usaha membekalkan modal insan dan perlaksanaanya dilakukan dalam pelbagai inisiatif.

Sehubungan itu, satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) telah berlangsung di sini hari ini yang bertujuan untuk bekerjasama dalam menyediakan latihan pendidikan perakaunan dan meningkatkan peranan profesion tersebut.

Menurut Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim bin Ahmad kerjasama yang dipersetujui ini dijangka dapat meningkatkan lagi bilangan akauntan professional Bumiputera menjelang 2020, di mana ia mampu meningkatkan prospek Malaysia menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi.

“MARA melalui Institusi Pendidikan MARA (IPMa) menyumbang kepada penghasilan pelajar akauntan professional kerana IPMa kita menawarkan program perakaunan di peringkat Diploma dan peringkat Ijazah di Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM), Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) dan Kolej Professional MARA (KPM)” katanya.

Jelas beliau lagi di dalam ucapan perasmiannya berkata, pada masa ini sebanyak 348 pelajar sedang mengikuti pengajian ACCA di KUPTM, 1,283 pelajar Ijazah Sarjana Muda di UniKL, KUPTM dan KPTM. Manakala seramai 3,135 pelajar mengikuti Diploma perakaunan dan 266 pelajar mengikuti Certified Accounting Technician (CAT)  di semua KUPTM, KPTM dan KPM dan bilangan ini dijangka meningkat dari tahun ke tahun.

Kerjasama adalah dalam bentuk pembangunan kurikulum yang komprehensif, membangun dan meningkatkan kemahiran dalam perakaunan melalui latihan industri dengan syarikat-syarikat yang berkaitan,  memudahkan proses akreditasi dan kelulusan oleh ACCA di IPMa.

Melalui kolaborasi bersama ACCA ini juga, pihak MARA berharap pelajar-pelajar MARA akan dapat ditempatkan di firma-firma gergasi seperti Deloitte, Ernst & Young, PricewaterhouseCoopers (PWC) dan KPMG.  Ini sekaligus dapat menarik minat pelajar-pelajar di luar sana untuk menyambung pengajian mereka dalam bidang tersebut dan boleh meningkatkan lagi taraf sijil mereka di dalam bidang perakaunan.

Bersempena dengan majlis itu juga, Datuk Ibrahim percaya bahawa misi dan nilai kedua-dua organisasi adalah tepat dalam menjayakan kolaborasi serta beliau yakin perkongsian tersebut akan berjaya dengan adanya kerjasama kedua belah pihak.

Turut hadir ke Majlis Menandatangani MoU tersebut ialah Pengerusi Sementara MARA Datuk Dr Hj Yusof Hj Yacob, Pengarah Eksekutif Pembangunan dan Strategi, ACCA Mr Alan Hatfield dan beberapa ahli majlis MARA serta wakil ACCA.

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain and tagged . Bookmark the permalink.