Program Ulul Albab MRSM – Model Baharu Pembinaan Generasi Akan Datang

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid merasmikan Konvensyen MRSM Ulul Albab. Foto Rahizul Zulhim.

Oleh Shahrulazli Jaafar@Ismail

media@mara.gov.my

Kuala Lumpur, 10 April – Program Ulul Albab yang dilaksanakan di empat buah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) sejak lapan tahun lepas merupakan satu salah satu model baharu pembinaan generasi TN50 akan datang.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, melalui pelaksanaan sistem ini, kita akan melahirkan golongan korporat dan teknokrat serta pemimpin masa hadapan negara yang terdiri dalam kalangan mereka yang hafaz al-Quran.

“Ini boleh disifatkan sebagai salah satu model baharu pembinaan kepemimpinan generasi TN50 akan datang yang mana para pemimpin negara sama ada peringkat korporat, perniagaan, cendekiawan dan sebagainya adalah dari kalangan mereka yang menghafaz al-Quran dan menjadikannya teras dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir menyempurnakan Konvensyen MRSM Ulul Albab 2017 di sini hari ini. Konvensyen ini menghimpunkan huffaz terdiri daripada pendidik, pelajar dan bekas pelajar huffaz dalam mengembangkan lagi budaya menghayati al-Quran sebagai asas kepada pembentukan generasi masa hadapan.

Jelasnya lagi, program ini amat unik kerana mampu melahirkan pelajar yang bercirikan Quranik iaitu memahami al-Quran dan menghayatinya, ciri Ensiklopedik iaitu mereka yang berpengetahuan luas dalam pelbagai bidang serta ciri Ijtihadik iaitu mereka yang mampu mengeluarkan pandangan bagi penyelesaian permasalahan masa kini.

“Kerajaan amat memerlukan kepada kepimpinan dan karakter seperti ini dalam membawa negara terus kompetitif di persada dunia bahkan program ini juga selaras dengan sasaran TN50 untuk melahirkan 125,000 huffaz menjelang 2050,” katanya lagi.

Untuk rekod, Program Ulul Albab telah diwujudkan di empat (4) buah MRSM Ulul Albab iaitu bermula di MRSM Kota Putra (Terengganu) pada tahun 2009 diikuti oleh MRSM Gemencheh (Negeri Sembilan) tahun 2010, MRSM Kepala Batas (Pulau Pinang) tahun 2011 dan terkini di MRSM Sungai Besar (Selangor) telah berjaya melahirkan seramai 1,164 orang huffaz.

“Berdasarkan kepada kejayaan yang telah ditunjukkan oleh MRSM Ulul Albab ini, kerajaan telah bersetuju untuk MARA menambah lima (5) lagi bilangan MRSM Ulul Albab iaitu di Semporna (Sabah), Bagan Datuk (Perak), Ketereh (Kelantan), Bera (Pahang) dan Sik (Kedah) yang melibatkan kos berjumlah RM600 juta,” jelasnya.

Selain itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan pelajar–pelajar yang telah menamatkan pengajian di MRSM Ulul Albab ini akan diberi keutamaan tajaan di bawah Skim Pelajar Cemerlang bagi melanjutkan pengajian dalam bidang profesional, saintifik dan teknikal di universiti tersohor dunia dalam usaha melahirkan para huffaz yang bakal menyumbang kepada pembangunan negara di masa akan datang.

“Saya akan bantu sedaya upaya untuk terjemahkan perkara ini dan memastikan MRSM Ulul Albab akan menjadi pemacu kepada pembangunan umat,” jelasnya lagi.

Turut hadir ke majlis adalah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Pengerusi Sementara MARA Datuk Dr Yusof Yacob serta Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad.

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged , , . Bookmark the permalink.