
Setiap pelajar digalakkan untuk membantu rakan-rakan lain supaya dapat mempercepatkan lagi pemahaman mereka terhadap sesuatu mata pelajaran.
JASIN 6 April – Empat elemen penting dilihat menjadi resipi kejayaan pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Ghafar Baba, Jasin, Melaka sehingga muncul sebagai MRSM terbaik seluruh negara dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 lalu.
Pengetuanya, Mohamad Anuar Mohamad Yusof berkata, keempat-empat elemen tersebut merangkumi aspek kepimpinan, kerohanian, ilmu dan fizikal diri atau kawasan sekitar.
Tambahnya, prasyarat kejayaan sesebuah sekolah juga adalah terdapatnya gabungan jalinan antara pentadbir, guru, pelajar dan ibu bapa.
“Dari segi kerohanian, kami mengamalkan ajaran-ajaran agama Islam seperti aspek berjemaah yang memerlukan seseorang umat Islam mengerjakan solat lima waktu.
“Apabila pelajar dan kakitangan sekolah sentiasa solat secara berjemaah, kasih sayang antara mereka pastinya terjalin dan melibatkan seluruh warga sekolah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurut Mohamad Anuar, aspek ilmu pula memainkan peranan penting dalam kejayaan sekolah itu apabila guru sentiasa berada di sisi pelajar bagi membantu mereka tanpa mengira masa.
“Boleh dikatakan guru-guru di sekolah ini bekerja selama 24 jam sehari kerana pelajar yang memerlukan bantuan dalam pembelajaran akan dibantu bukan sahaja pada waktu pagi, tengah hari dan petang.
“Para pelajar dibenarkan untuk menggunakan telefon bimbit untuk menghubungi guru mereka pada bila-bila masa, memudahkan lagi proses pembelajaran mereka,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut memberitahu, terdapat pelajar-pelajar terpilih yang dilatih untuk menjadi guru muda yang bertujuan membantu rakan-rakan mereka.
“Setiap pelajar mempunyai kelebihan masing-masing dan mereka digalakkan untuk membantu rakan-rakan lain, begitu juga sebaliknya dan ini akan mempercepatkan lagi pemahaman mereka terhadap sesuatu mata pelajaran.
“Pada masa sama, pelajar tingkatan empat dan lima juga saling membantu. Contohnya, sekiranya pelajar tingkatan lima terlupa akan sesuatu yang dipelajari pada tahun lalu, pelajar tingkatan empat akan membantu mengingatkan mereka semula terhadap perkara itu dan begitu juga sebaliknya,” jelasnya.
Katanya, mengikut aspek fizikal pula, persekitaran di kawasan sekolah secara tidak langsung memberikan impak terhadap pembelajaran pelajar.
“Kami turut menerapkan amalan cintakan alam sekitar bukan sahaja kepada pelajar, tetapi guru serta kakitangan lain harus mempunyai semangat yang sama.
“Sebab itulah kami mempunyai projek hijau terhadap setiap kelas di mana pelajar menanam dan merawat tumbuhan bagi memberi persekitaran kondusif kepada mereka dalam sekolah,” jelasnya.
Mohamad Anuar juga memberitahu, elemen keempat iaitu kepimpinan memberi peluang kepada para pelajar untuk memperbetulkan karakter masing-masing.
“Menerusi beberapa program latihan, para pelajar dapat meningkatkan lagi tahap keyakinan diri serta memastikan imej mereka adalah dalam kalangan yang terbaik,” katanya.
Sehubungan itu, Mohamad Anuar menjelaskan, dengan adanya kesemua komponen tersebut barulah kejayaan dapat dicapai dan meneruskan kegemilangan pelajar sekolah tersebut.
“Andainya salah satu elemen itu rosak, agak sukar untuk mencapai kejayaan kerana kesemua komponen itu amat penting dalam kecemerlangan seseorang pelajar, begitu juga dengan kehidupan yang menjurus kepada Al-Falah (berjaya),” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Anuar melahirkan rasa syukur terhadap pencapaian sekolah itu apabila menjadi MRSM terbaik dari segi pencapaian SPM pada tahun lalu berbanding institusi sama di seluruh negara.
“Alhamdulillah, kami berjaya mendapat pencapaian terbaik dalam keputusan SPM tahun lalu kerana pada masa yang sama kami juga membawa maruah Majlis Amanah Rakyat (MARA). Saya berasa cukup gembira kerana berjaya mencapai sasaran.
“Harapan saya hanyalah untuk MRSM ini meneruskan kecemerlangan yang telah dicapai serta mengekalkan prestasi atau menambah baik lagi pencapaian itu. Kami sudah ada langkah-langkah yang perlu diambil bagi merealisasikan hasrat tersebut,” katanya.
Sumber : https://www.utusan.com.my/berita/nasional/mrsm-tun-ghafar-baba-terbaik-spm-2016-1.466516