27,911 Lepasan Spm Dapat Tawaran Lanjut Pengajian

Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ismail Sabri Yaakob bergambar bersama para pelajar dalam pelancaran Jelajah Pendidikan Bumiputera 2017 di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR 6 April – Seba­nyak 27,911 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjaya mendapat tawaran melanjutkan pengajian menerusi program Jelajah Pendidikan Bumiputera 2017 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 21 Mac lalu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, menerusi program tersebut, wakil pusat pengajian membuat penilaian dan calon yang layak menerima surat tawaran pada hari sama.

“Peserta hanya perlu membawa sijil berkaitan dan membuat pendaftaran di mana-mana pusat pe­ngajian yang diminati. Sekiranya layak, surat tawaran dikeluarkan serta-merta pada hari yang sama.

“Antara kursus yang menjadi pilihan adalah berasaskan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang ditawarkan oleh GiatMara, Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM), Institut Kemahiran Mara (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) serta kolej komuniti,” katanya.

Beliau ditemui dalam majlis pelancaran Jelajah Pendidikan Bumiputera 2017 di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di sini, hari ini.

Ismail Sabri menjelaskan, program tersebut memberi peluang kedua kepada calon untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi walaupun mendapat keputusan kurang memuaskan dalam SPM.

“Program ini memberi keutamaan kepada pelajar luar bandar yang berasal daripada keluarga kurang berkemampuan dan saya berharap mereka dapat menggunakan peluang ini de­ngan baik,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tengku Adnan menasihatkan generasi muda agar tidak mempersia-siakan peluang yang diberikan kerana pendidikan adalah titik permulaan kepada masa depan mereka.

“Kerajaan telah mengadakan pelbagai program untuk membantu golongan belia, oleh itu gunakan peluang yang ada sebaik-baiknya kerana pendidikan boleh mengubah masa depan seseorang.

“Kepentingan pendidikan juga dapat dibuktikan apabila kerajaan menyediakan peruntukan yang secukupnya untuk disalurkan kepada pembangunan pendidikan negara,” katanya.

Sumber : http://www.utusan.com.my/berita/nasional/27-911-lepasan-spm-dapat-tawaran-lanjut-pengajian-1.466545

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged , . Bookmark the permalink.
%d bloggers like this: