Peluang Pendidikan, Kerjaya Di KPM 2017

Mumfahir Suparja bercakap pada media Karnival Pendidikan Mara Negeri Sembilan yang berlangsung 8 & 9 April ini.

SEREMBAN: MARA menjangka kira-kira 20,000 orang akan mengunjungi Karnival Pendidikan MARA 2017 (KPM 2017) di kompleks beli belah Mydin Seremban 2 di sini, pada 8 dan 9 April ini.

Pengarah MARA Negeri Sembilan, Mumfahir Suparja, berkata sasaran pengunjung adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan graduan institusi pengajian tinggi (IPT) yang berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, KPM 2017 membantu golongan sasaran menentukan hala tuju kerjaya dan pendidikan, sama ada akademik atau kemahiran.

“Sebanyak 52 gerai pameran IPT dan juga portal kerjaya Kementerian Sumber Manusia, JobMalaysia, disediakan untuk pengunjung mendapatkan maklumat berkaitan IPT dan pekerjaan.

“Petugas IPT juga akan membimbing berkaitan pemilihan kursus, manakala JobMalaysia mengajar cara memohon pekerjaan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mumfahir berkata, antara aktiviti sepanjang karnival itu ialah demonstrasi pelbagai kemahiran seperti gunting rambut dan taklimat oleh Kolej MARA dan GiatMARA, serta kemudahan pembiayaan pendidikan MARA dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Katanya, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli; Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Mat Ali Hassan, dan Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, Abdul Halim Abas, dijangka mengunjungi karnival itu.

Sumber : https://www.bharian.com.my/node/268253?m=1

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged , . Bookmark the permalink.