Eduxtra 2017 #WhatsNext Beri Manfaat Kepada Pengunjung Dalam Tempoh Sehari

Para pengunjung tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan info-info tentang Institusi Pendidikan MARA (IPMa) di Lobi Medan MARA.

Oleh Zuraini Sainal

media@mara.gov.my

Kuala Lumpur, 5 April – Meskipun Karnival Pendidikan MARA 2017 yang dianjurkan ke seluruh Malaysia masih belum selesai penjelajahannya kemunculan Program EduXtra 2017 yang bertemakan #WhatsNext2017 telah menghangatkan suasana  pencarian melanjutkan pengajian ke menara gading dan ianya mendapat sambutan di luar jangkaan.

Program anjuran bersama antara MARA dan ANSARA ini menawarkan pelbagai pengisian yang memberi manfaat kepada para pengunjung khususnya pelajar lepasan SPM dan STPM 2016.

Pelbagai pengisian menarik yang dijanjikan sepanjang program seharian itu berjalan dengan lancar dan dalam suasana santai sekali.  Pengisian yang ditawarkan ialah pameran IPMa dan pendaftaran terbuka IPMa secara online, ceramah kerjaya dan peluang pendidikan, ceramah keusahawanan, ujian personaliti/kecenderungan dan kaunseling kerjaya.

Di antara pengisian yang menarik minat dan mendapat tumpuan para pengunjung ialah ceramah yang disampaikan oleh panel berpengalaman yang telah mengharungi liku-liku pembelajaran dan kini berada di puncak kerjaya masing-masing. Mereka merupakan bekas pelajar MRSM yang memegang jawatan dalam pelbagai bidang antaranya Perubatan, Perbankan, Ketenteraan, Perkhidmatan Awam dan banyak lagi.

Sempat ditemubual ialah salah seorang exco ANSARA iaitu Musfirah Tajudin yang juga merupakan Exco Gen Y, ANSARA Malaysia berkata kehadiran para penceramah merupakan satu penghargaan dan timbal balik sumbangan kepada MARA yang selama ini telah berjasa kepada mereka.

“Kehadiran para pengunjung amatlah memberangsangkan tambahan para panel berkongsi mengenai pengalaman dan memberi pendedahan maklumat sebenar suasana kerjaya mereka” katanya.

Menurut adik Mohd Naimuddin Hussin dari Kajang Utama salah seorang lepasan SPM 2016 dalam temubual singkat menyatakan beliau baru sahaja mengisi borang ujian personaliti yang mana melaluinya beliau dapat mengenal pasti hala tuju dan kecenderungan beliau.  Beliau yang meminati bidang Kulinari serta Rekaan Fesyen menambah bahawa penganjuran program ini telah membantu beliau untuk mengetahui pelbagai bidang yang ditawarkan oleh IPMa” katanya.

“Pembukaan booth permohonan Online IPMa telah membantu saya untuk mendaftarkan diri dalam Diploma Perbankan Islam di KPM Bandar Melaka.  Di samping, itu ceramah yang disampaikan oleh Encik Ashraf Ilham dari CIMB memberi gambaran sebenar kerjaya berkaitan dengan Akaun, Kewangan dan Perbankan” menurut adik Mohd Afiq Abu Hassan yang juga lepasan SPM 2016 kata pelajar yang berasal dari Lembah Klang.

Dalam tempoh penganjuran yang agak singkat ini, lebih dari  15 buah gerai pemamer yang terdiri dari IPMa, ANSARA dan beberapa bahagian di dalam MARA turut diserbu pengunjung bagi mendapat nasihat dari segi minat bidang masing-masing di samping mengambilkira kos, lokasi dan kesesuaian.

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged , . Bookmark the permalink.