Semua Pelajar Malaysia Di St Petersburg Selamat

Anggota bomba tiba di lokasi kejadian letupan bom di stesen kereta api bawah tanah di St Petersburg.

KUALA LUMPUR: Kesemua 21 pelajar Malaysia yang menuntut di State Marine Technical University of Saint (St) Petersburg, Russia, dilapor dalam keadaan selamat berikutan letupan bom di dalam kereta api St Petersburg Metro.

Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pejabat Russia, Syed Saifuddin Syed Ahmad, berkata tiada rakyat Malaysia menjadi mangsa dalam letupan yang berlaku di bandar raya kedua terbesar Russia itu semalam.

“Kesemua 21 pelajar Malaysia di St Pete berada di asrama mereka ketika letupan itu berlaku. “Setakat ini, hanya pelajar berkenaan yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di sini dan kesemua mereka adalah pelajar tajaan MARA,” katanya kepada Bernama melalui aplikasi Facebook Messenger di sini hari ini.

Syed Saifuddin, yang berada di pejabatnya di Moscow ketika kejadian itu berlaku, berkata letupan berlaku jam 2.30 petang waktu tempatan.

Menurut saluran berita berbahasa Inggeris 24 jam Rusia, Russia Today (RT), letupan itu membunuh 11 penumpang serta mencederakan berpuluh yang lain dan memaksa seluruh sistem kereta api Metro ditutup bagi membolehkan skuad penyelamat dan pemusnah bom menjalankan operasi kecemasan.

Memetik Jawatankuasa Antikeganasan Kebangsaan, laporan itu berkata letupan tersebut berlaku ketika kereta api berkenaan dalam perjalanan antara stesen metro Tekhnologichesky Institut dan Sennaya Ploshchad

Sumber : https://www.bharian.com.my/node/267895

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain and tagged . Bookmark the permalink.