
Guntor Tobeng
KUALA LUMPUR – Pada 2012, syarikat perkhidmatan tenaga, Gading Kencana Sdn. Bhd. (Gading Kencana) mendapat sebuah projek bagi membangunkan ladang jana tenaga solar berkapasiti lapan megawatt di Bandar Teknologi Hijau, Jasin, Melaka.
Namun, menurut Pengarah Urusannya, Datuk Ir. Guntor Tobeng, pada masa itu, pihaknya buntu bagi mendapatkan modal pembiayaan untuk membiayai projek tersebut yang menelan kos sebanyak RM86 juta.
“Selepas beberapa tahun beroperasi, projek ladang jana tenaga solar di Melaka itu merupakan yang terbesar kami dapat. Kami pergi ke beberapa bank untuk mendapatkan pembiayaan, namun mereka selalu bertanyakan mengenai cagaran, namun kami gagal menyediakan sebarang cagaran.
“Pada masa itulah, Majlis Amanah Rakyat (MARA) datang membantu menerusi Program The Baron. Menerusi program berkenaan, MARA menyuntik modal sebanyak RM5 juta untuk kami menambah ekuiti modal bagi pelaksanaan projek terbabit,” katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Tambahnya, jasa MARA kepada syarikatnya cukup besar, kerana modal awal sebanyak RM5 juta yang diberikan MARA itu telah meningkatkan keupayaan Gading Kencana untuk berunding dan akhirnya memperoleh modal pembiayaan lebih besar daripada pihak bank bagi menjayakan projek tersebut.
“Projek ladang jana tenaga solar di Bandar Teknologi Hijau itu kini berjalan lancar dan mampu membekalkan tenaga elektrik berkapasiti 950,000 kilowatt sebulan kepada 1,800 rumah dan kedai. Tenaga yang dihasilkan di tapak seluas 6.9 hektar itu kemudiannya disalurkan kepada Tenaga Nasional Berhad,” katanya.
Tambah Ir. Guntor, suntikan modal berkenaan bukanlah bantuan pertama yang diperoleh syarikatnya daripada MARA.
“Saya masih ingat, bantuan pertama yang diberikan MARA kepada Gading Kencana merupakan geran berjumlah RM20,000 untuk membuat katalog perniagaan. Menerusi katalog perniagaan itulah kami dapat mempromosi dan menjual produk-produk perkhidmatan solar kami dengan lebih mudah.
“Kemudian, Gading Kencana turut memperoleh beberapa projek pendawaian elektrik daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR). Menerusi projek tersebut MARA turut membantu menyediakan kemudahan pembiayaan berjumlah RM300,000,” katanya yang telah dipilih sebagai Tokoh Usahawan MARA 2016 pada Majlis Anugerah Usahawan MARA (Aura) 2016, baru-baru ini.
Ujarnya, melihatkan perniagaan Gading Kencana semakin meningkat maju, MARA sekali lagi tampil menyediakan kemudahan pembiayaan sebanyak RM500,000 bagi membantu syarikat tersebut terus berkembang.
“Kini, Gading Kencana sedang melaksanakan projek mereka bentuk, membina, memiliki, mengendalikan dan menyelenggara kemudahan menjana tenaga fotovoltaik solar 37 megawatt di Bidor, Perak yang menelan kos sebanyak RM200 juta dan MARA menerusi anak syarikat mereka MARACorp. turut menyatakan hasrat untuk membantu kami,” katanya.
Ujar usahawan kelahiran Alor Setar, Kedah itu, setelah pelbagai bantuan dan kemudahan diberikan MARA, Gading Kencana berhasrat untuk membalas jasa MARA dengan bersama-sama membantu melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera menerusi keupayaan yang dimiliki syarikat itu.
“Alhamdulillah, Gading Kencana turut diberi kepercayaan untuk terlibat dalam Program STRIKE di mana menerusinya, kami bersama MARA akan mengembangkan lagi potensi perniagaan pemasangan solar di negara ini.
“Kami akan menyediakan kursus-kursus berkaitan kepada syarikat-syarikat bumiputera lain dan jika ada projek yang bersesuaian, Gading Kencana akan serahkan projek itu kepada syarikat terbabit untuk dilaksanakan. Malah kami turut merancang untuk membangunkan sekurang-kurangnya 10 vendor dalam industri ini dalam tempoh setahun,” kata nya.
Tambah Ir. Guntor, Gading Kencana juga bersedia untuk menyediakan peluang pekerjaan serta latihan dalam bidang tenaga solar terutama kepada pelajar-pelajar lepasan Institut Kemahiran MARA (IKM).
“MARA cukup banyak membantu kami, bukan sekadar memberikan pembiayaan, malah turut membantu menguruskan perniagaan sehingga kami mampu ke peringkat lebih tinggi.
“Malah, pandangan jauh yang dimiliki oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad yang mahukan usahawan Melayu dan bumiputera berkembang maju dalam industri solar ini banyak meningkatkan semangat dan keupayaan Gading Kencana,” katanya.
Menurutnya, Gading Kencana menetapkan sasaran untuk disenaraikan di Bursa Malaysia menjelang 2020.
“Kami menjangkakan menjelang 2020, Gading Kencana akan disenarai di Bursa Malaysia.
“Bagi tujuan itu kami sedang mengumpul aset dan berharap mampu mendapat perolehan sebanyak RM1 bilion dalam tempoh berkenaan,” katanya.
Sumber : http://www.utusan.com.my/berita/nasional/mara-bantu-tingkat-daya-saing-gading-kencana-1.464385