Remaja diharap tidak ‘berpeluk tubuh’

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (tiga dari kanan) meluangkan masa berkunjung ke salah satu “booth” milik Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah yang meyertai karnival berkenaan. Turut sama adalah, Pengarah MARA Kedah, Fuziah Ahmad (dua dari kanan). FOTO Aizat Sharif

Alor Setar: Golongan remaja di Kedah diharapkan tidak hanya ‘berpeluk tubuh’ mengharapkan setiap kejayaan yang dicipta dalam pelbagai bidang pada masa lalu berulang dengan sendirinya.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, sebagai golongan yang akan menjadi pemimpin di masa hadapan, mereka seharusnya tidak terlalu selesa dengan kejayaan yang dicipta sebaliknya perlu melipatgandakan lagi usaha dalam penerokaan ilmu terkini seperti melakukan inovasi dalam akademik serta berusaha untuk melangkaui sempadan kecemerlangan.

“Kecemerlangan yang diraih menerusi pencapaian akademik terutama ketika Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2016 yang diumumkan baru-baru ini tidak seharusnya melekakan kita.

“Benar, kita sudah mencipta banyak kejayaan tetapi ini tidak bermakna kita boleh selesa ‘berpeluk tubuh’ mengharapkan setiap kejayaan yang dicpita pada masa lalu akan berulang dengan sendirinya pada masa hadapan.

“Hakikatnya, kita sedang menghadapi pelbagai cabaran baru yang menuntut supaya kita sentiasa menerokai ilmu terkini, melakukan inovasi dan berusaha untuk melangkau sempadan kecemerlangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Karnival Pendidikan MARA 2017 Peringkat Negeri Kedah kali ke-18 di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Menara MBAS, disini tadi.

Tambahnya lagi, pada masa kini, golongan ibu bapa juga semakin menyedari kepentingan akademik melalui pendidikan tinggi yang tidak boleh diambil mudah dalam usaha memastikan anak mereka mendapat peluang dan tempat terbaik bagi melanjutkan pelajaran selepas tamat persekolahan.

“Masa depan anak kita jangan dipersiakan dan oleh kerana itu juga, mereka perlu dipersiapkan dengan pendidikan peringkat tinggi agar lebih bersedia apabila memasuki alam pekerjaan nanti.

“Oleh hal demikian, Karnival Pendidikan MARA ini harus dijadikan platform atau landasan bagi meneruskan peluang pengajian di peringkat tinggi sebagai perancangan kerjaya pada masaha hadapan kelak dan peluang ini harus direbut oleh semua golongan sasaran seperti lepasan SPM dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM),” katanya.

Beliau berkata sebanyak 65 ‘booth’ dibuka membabitkan penyertaan daripada 53 Institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) dan Institusi Pendidikan MARA dalam Karnival Pendidikan MARA 2017 Peringkat Negeri Kedah kali ke-18 berlangsung selama dua hari bermula pada hari ini.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Pengarah MARA Negeri Kedah, Fuziah Ahmad.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/node/217999

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.