JPB 2017 kesan pelajar tercicir

ISMAIL SABRI (berdiri di barisan hadapan, lima dari kanan) bersama Mohamad (tengah) bergambar bersama para peserta pada Majlis Pelancaran JPB 2017 di Seremban semalam. Turut kelihatan berdiri di barisan hadapan ialah Tengku Kamarulzaman (lima dari kiri), Sahol Hamid (empat dari kanan) dan Mohd. Aizuddin (tiga dari kiri).

SEREMBAN – Kira-kira 36,000 pelajar bumiputera lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Pengajian Asasi dari tahun 2012 hingga 2016 mendaftar bagi melanjutkan pelajaran menerusi program Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) 2017 sejak ia dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 21 Mac lalu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu seramai 20,267 telah diterima masuk ke pelbagai institusi pendidikan kendalian Majlis Amanah Rakyat (MARA) atau menunggu surat tawaran universiti awam bagi kemasukan Julai ini.

“Pemohon yang layak memasuki institusi pendidikan kendalian MARA menerima surat tawaran serta-merta menerusi program ini manakala permohonan mereka yang layak memasuki universiti awam pula diserahkan kepada pihak pengurusan universiti terlebih dahulu untuk dibuat semakan.

“JPB 2017 merupakan program bagi mengesan pelajar bumiputera lepasan SPM, STPM dan Pengajian Asasi khususnya di luar bandar yang tercicir untuk melanjutkan pelajaran disebabkan faktor kemiskinan atau masalah teknikal seperti melakukan kesilapan sewaktu mengisi borang dalam permohonan awal mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran JPB 2017 Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Majlis Perbandaran Seremban di sini semalam.
Sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0331&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz4crkilcQj

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged . Bookmark the permalink.