Bina Guna Bahan Terpakai, Mesra Alam

Rumah kontena yang dihasilkan KKTM Sri Gading yang mengguna pakai konsep bangunan hijau dan cekap tenaga dihasilkan dengan kos RM50,000.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, rumah kontena menjadi semakin popular dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Sebelum ini fungsi kontena terhad sebagai storan barangan di pelabuhan atau atas kapal, namun sedikit pengubahsuaian dan kreativiti, menjadikannya struktur binaan yang unik.

Selain sesuai dijadikan sebagai rumah persendirian, kontena juga sering menjadi pilihan pengusaha resort dan restoran untuk menarik pengunjung.

Pelbagai bentuk dan rekaan yang dihasilkan berjaya memberi nilai tambah terhadap kontena terpakai yang sebelum ini dianggap sebagai besi buruk semata-mata.

Hakikat itu mendorong penyelidik dari Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Sri Gading, Batu Pahat, Johor menghasilkan inovasi rumah kontena yang menggunakan konsep bangunan hijau dan cekap tenaga.

Ketua Program Jabatan Bangunan Hijau dan Cekap Tenaga KKTM Sri Gading, Ahmad Marzuki Mahat berkata, kertas cadangan pembinaan rumah kontena itu bermula pada 2015 sebelum pembinaannya dilaksanakan setahun kemudian dengan kos RM50,000.

Katanya, konsep binaan kontena telah lama dilaksanakan di Britain, Perancis dan Jerman berikutan nilai hartanah yang sangat tinggi dan trend tersebut semakin menular di Malaysia meliputi rumah persendirian, resort, pejabat dan restoran

“Ia turut didorong oleh faktor-faktor seperti kos lebih murah, pembinaan yang mudah dan pantas serta rekaan yang pelbagai.

“Selain itu, strukturnya juga mampu bertahan lama sehingga 50 tahun dan tidak memberi kesan kepada alam sekitar,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Ahmad Marzuki, di sebalik semua kelebihan itu, kontena turut mempunyai kelemahan kerana terbina daripada keluli.

Sifatnya yang mudah menyerap haba menyebabkan kontena cepat panas terutama pada waktu siang berikutan purata suhu di negara ini yang mencecah 35 hingga 37 darjah Celsius.

“Rata-rata pemilik rumah dan resort kontena yang kami temui turut berdepan masalah tersebut.

“Lagipun, ketika ini tiada standard khusus bagi binaan kontena seperti bahan penebat haba yang sesuai digunakan atau berapa ketebalan dinding atau bumbung yang diperlukan.

Keselesaan

“Disebabkan itu, pemasangan pendingin hawa menjadi satu kemestian bagi binaan jenis ini untuk memastikan keselesaan penghuninya. Begitupun, penggunaan yang kerap bukan sahaja menyebabkan bil elektrik melambung tinggi malah menyebabkan pendingin hawa itu cepat rosak,” ujarnya.

Hasil kajian yang dilakukan, pihaknya telah mengenal pasti empat elemen utama untuk pembinaan rumah kontena berkenaan iaitu struktur binaan, kedudukan bangunan, orientasi aliran angin dan penghadang cahaya.

Katanya, struktur binaan di bahagian dinding dan bumbung kontena mempunyai penebat haba yang baik dan efisien.

“Suhu permukaan luar kontena lazimnya mencecah 55 hingga 60 darjah Celsius ketika panas terik namun dengan penggunaan penebat haba yang sesuai suhu di dalamnya dapat diturunkan sehingga 27 darjah Celsius.

“Kedudukan bangunan juga penting bagi memastikan hanya luas permukaan kontena yang lebih kecil mengikut arah matahari terbit di samping penggunaan penghadang cahaya untuk meminimumkan kadar penyerapan haba.

Sumber : http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0329&pub=Kosmo&sec=Infiniti&pg=in_01.htm

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain and tagged , . Bookmark the permalink.