Ahmad Syahir Ingin Jadi Jurutera Kimia

Ahmad Syahir (kiri) menunjukkan slip keputusan cemerlang SPM bersama Piala Anugerah Pelajar Terbilang kepada ibunya, Noorhidayati Abdullah dan bapanya Azman Hassan di rumahnya di Kampung Tok Bok.

MACHANG: Mahu menjadi pencipta formula petrol yang lebih berkualiti adalah impian seorang pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pasir Tumboh, di sini yang memperoleh keputusan cemerlang 9A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Anak keempat daripada lima beradik itu, Ahmad Syahir Afiq Azman, 18, turut menerima tawaran belajar di Kolej Yayasan UEM dalam bidang Kejuruteraan Kimia pada Julai ini yang ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Khazanah Nasional.

Ahmad Syahir berkata, setiap mata pelajaran mempunyai cara berbeza untuk difahami seperti subjek Sains yang memerlukan perbincangan kumpulan kecil berbanding membaca untuk subjek Sejarah.

Katanya, tinggal di asrama penuh dimanfaatkan sebaik-baiknya apabila sering mengadakan ulang kaji bersama rakan.

“Saya juga menjadi mentor untuk rakan yang lemah dalam mata pelajaran tertentu sekali gus menjadikan saya lebih cepat belajar dan memperolehi keputusan cemerlang sejak Tingkatan 4.

“Walaupun waktu ulang kaji di asrama selepas Isyak hingga 11 malam sudah memadai, namun saya akan mengambil masa 30 minit untuk membaca semula apa yang saya belajar sebelum ini setiap malam sebelum tidur.

“Mungkin ia agak memenatkan, tapi bagi saya demi mengejar impian saya sebagai kejuruteraan kimia, saya perlu lebih berusaha dan ternyata ia berbaloi dengan hasil kejayaan yang diperoleh ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya Kampung Tok Bok, di sini, hari ini. Ahmad Shahir adalah antara 10 pelajar di Kelantan yang memperoleh 9A+ pada SPM baru-baru ini.

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/263371

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged , . Bookmark the permalink.