MARA Peruntuk RM2 Bilion Taja 68,000 Pelajar Tahun Ini

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

KUALA LUMPUR 28 Mac – Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberitahu Majlis Amanah Rakyat (Mara) memperuntukkan RM2 bilion tahun ini untuk membiayai 68,000 pelajar tajaannya termasuk 20,000 pelajar baharu.Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, penajaan itu diberikan kepada pelajar mengikut kategori kelayakan pendapatan ibu bapa masing-masing.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hasan Malek (BN-Kuala Pilah) yang ingin tahu jumlah peruntukan dan pelajar yang ditaja Mara pada tahun ini.

Menjawab soalan asal Hasan mengenai kajian semula syarat kelayakan pemohon pinjaman pendidikan Mara memandangkan kos sara hidup yang meningkat, Ahmad Jazlan berkata Mara telah menaikkan had kelayakan pinjaman berdasarkan status sosioekonomi keluarga pemohon.

Katanya keluarga berpendapatan RM8,000 sebulan dan ke bawah layak dipertimbangkan menerima penajaan penuh meliputi yuran pengajian dan elaun sara hidup (ESH).

Pelajar daripada keluarga berpendapatan melebihi RM8,001 hingga RM15,000 sebulan layak dipertimbangkan mendapat sebahagian penajaan sahaja, sama ada yuran pengajian atau ESH.

“Untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan RM15,001 ke atas pula hanya layak dipertimbangkan penajaan melalui lain-lain sumber seperti program kerjasama Mara dan bank-bank tempatan, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan lain-lain,” katanya.

Sumber : https://www.utusan.com.my/pendidikan/mara-peruntuk-rm2-bilion-taja-68-000-pelajar-tahun-ini-1.463017

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged , . Bookmark the permalink.