Sasar 15,000 Hadir Karnival Pendidikan MARA 2017

Muhammad Amin (dua kanan) menyerahkan sijil penghargaan MARA kepada wakil yang membuka gerai di karnival berkenaan sambil diperhatikan Azmi.

MERU RAYA – Majlis Amanah Rakyat (Mara) Perak menyasarkan 15,000 individu terdiri kalangan golongan belia akan mengunjungi Karnival Pendidikan Mara 2017 yang dijalankan selama dua hari bermula hari ini di Aman Jaya Convention Centre.

Pengarahnya, Dr Azmi Amat Murjan berkata, karnival berkenaan telah tujuh kali diadakan di Perak menawarkan pelbagai pilihan institusi pengajian tinggi (IPT) kepada belia mengikut bidang diminati.

“Karnival ini adalah peluang yang sepatutnya direbut dan digunakan sebaiknya oleh belia di Perak terutama di kawasan luar bandar untuk datang beramai-ramai.

“Ia merupakan pusat sehenti kepada mereka yang berminat untuk meneruskan pengajian ke peringkat yg lebih tinggi melalui bidang yang diminati,” katanya ketika ditemui sempena lawatan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria, hari ini.

Azmi berkata, sebanyak 87 gerai membabitkan bidang keusahawanan turut dibuka sepanjang karnival tersebut berlangsung.

“60 gerai berdasarkan sektor usahawan, kita juga ada 27 gerai membabitkan bidang keusahawanan selain tiga seminar pembangunan keusahawanan,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Amin berkata, karnival itu memberi banyak manfaat selain memberi penjelasan dan pengetahuan secara lanjut kepada para ibu bapa yang datang untuk mendapatkan maklumat secara terus.

“Bagi saya pendekatan karnival seumpamanya ini amat membantu ibu bapa untuk mengetahui tentang sesuatu bidang yang diminati oleh anak-anak mereka dengan lebih lanjut.

“Walaupun dunia kini di era globalisasi dan kemajuan teknologi namun pendekatan karnival seumpama ini lebih baik untuk ibu bapa mendapatkan maklumat secara terus daripada pihak berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, kursus-kursus pengajian yang ditawarkan dalam karnival tersebut juga menarik dan ada di antaranya dilihat berpotensi untuk dijadikan sebagai kerjaya selepas tamat pengajian.

“Kalau dulu, kita susah nak dengar orang yang ambil kursus kimpalan laut dalam, pendidikan awal kanak-kanan tetapi sekarang ia dah berkembang sehingga wujudnya pengkhususan dalam bidang itu di kebanyakan IPT,” katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/perak/sasar-15-000-hadir-karnival-pendidikan-mara-2017-1.649254

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged . Bookmark the permalink.