Berkat Kerja Keras Suami Isteri

Nor Hafizah Sharif membakar roti menggunakan ketuhar.

LARUT 26 Mac – Bermula dengan perniagaan secara kecil-kecilan lebih 20 tahun lalu, tiada siapa menyangka, roti keluaran Feeza Enterprise kini sema­kin mendapat tempat di hati masyarakat khususnya di sekitar Batu Kurau dan Taiping dekat sini.

Menurut pemilik Feeza Enterprise, Nor Hafizah Sharif dan Rosdan Che Din yang ma­sing-masing berusia 49 tahun dari Kampung Changkat Perah, Batu Kurau, bermodalkan RM10,000, mereka kemudiannya membeli pembakar dan mesin pengadun bagi menghasilkan roti lebih banyak untuk dijual di pasaran tempatan.

Pasangan suami isteri itu berkata, ketika ini mereka menghasilkan lebih 1,000 roti sebulan yang mampu membawa pulangan antara RM2,000 hingga RM3,000.

“Kami mula berniaga roti secara kecil-kecilan di Pulau Pinang pada tahun 1995 dengan menghantarnya ke kantin kilang bagi menampung perbelanjaan keluarga.

“Kemudian, bermodalkan RM10,­000, kami membeli pembakar dan mesin pengadun bagi menghasilkan roti dengan lebih banyak, namun akibat keme­lesetan ekonomi pada 1999, kami terpaksa berehat hampir empat tahun apabila tiada lagi sebarang tempahan yang diterima ter­utama pelanggan tetap,” kata Nor Hafizah ketika ditemui di kedai­nya di sini baru-baru ini.

Namun, kata ibu kepada tiga orang anak itu, mereka kemu­diannya memulakan kembali perniagaan roti tersebut pada 2002 secara kecil-kecilan di kampung halaman dengan adunan hanya dibuat di rumah dan dipasarkan di kedai kawasan berdekatan.

Kata Nor Hafizah, berkat kerja keras dan usaha mereka suami isteri, permintaan terhadap roti semakin meningkat, malah mereka turut membuat pelbagai jenis roti yang diminta pelanggan.

Menceritakan pengalamannya dalam menghasilkan roti, Nor Hafizah memberitahu, dia sebenarnya tidak mempunyai kemahiran membuat roti hinggalah berkahwin dengan Rosdan yang kemudiannya me­ngajarnya resepi menghasilkan roti.

Kata Nor Hafizah, kebanyakan roti yang dihasilkan di Feeza Enterprise bukanlah resepi turun temurun sebaliknya adalah hasil pengalaman suaminya be­kerja sebagai chef pastri di sebuah hotel di Pulau Pinang.

“Pengetahuan ini diperoleh sedikit demi sedikit hinggalah kami dapat menghasilkan roti tempatan yang terbaik kepada pembeli.

“Setakat ini kami hanya menghasilkan ban perisa kaya dan kacang serta roti English yang dijual dengan harga antara 60 sen hingga RM2 berikutan masalah kekurangan peralatan terutama ketuhar,” katanya.

Menceritakan pahit manis perniagaan tersebut, Nor Hafizah berkata, selain pernah terpaksa ‘tutup kedai’ hampir empat tahun, mereka juga pernah diuji dengan masalah kewangan akibat gagal menguruskannya secara betul.

“Namun atas bantuan rakan-rakan dan kursus dari Majlis Amanah Rakyat (MARA), saya mula mempelajari bagaimana cara untuk menguruskan kewangan selain bagaimana untuk menjana keuntungan,” katanya.

Untuk masa depan, kata Nor Hafizah, mereka merancang untuk memiliki sebuah kedai bakeri atau kilang bagi memperluaskan produknya ke seluruh negara sekali gus merancakkan produk bumiputera.

Kata Nor Hafizah, bagi mencapai cita-cita tersebut itu, mereka amat mengharapkan bantuan agensi berkaitan untuk memasarkan produk tersebut ke peringkat lebih tinggi serta bantuan kewa­ngan.

“Selain roti, kami turut me­rancang menghasilkan pau dan pelbagai jenis kek antaranya kek chiffon, muffin, kek cawan dan lain-lain lagi. namun, kami menghadapi kekangan kewangan,” katanya.

Sementara itu, Rosdan yang sebelum ini bekerja sebagai chef pastri sejak berusia 18 tahun berkata, dia dan isterinya mampu untuk menghasilkan lebih 100 jenis roti.

“Sekiranya pelanggan ada membuat permintaan roti khas seperti healthy breads, saya akan buat juga.

“Isteri saya juga sudah tahu bagaimana untuk menghasilkan roti jenis yang lain kerana saya mengajar semua resepi yang saya tahu kepadanya,” katanya.

Sumber dari : http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/berkat-kerja-keras-suami-isteri-1.462168#ixzz4cU8pGL5K

 

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain and tagged . Bookmark the permalink.