MARA Sasar “1Staf1Sukan”

Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad (berkemeja putih) bergambar kenangan bersama kontingen SUKMAS 2017 Negeri Selangor

Lenggong, 23 Mac – MARA mensasarkan setiap warga kerjanya melibatkan diri sekurang-kurangnya dalam satu sukan (1Staf1Sukan) bagi memastikan mereka kekal aktif dan sihat dalam menggalas amanah rakyat.

Menurut Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad, pelbagai platform telah disediakan oleh MARA seperti penganjuran sukan, aktiviti riadah dan sebagainya bagi memastikan warga agensi ini mengamalkan gaya hidup yang sihat.

“Saya menyeru agar kesemua warga MARA untuk melibatkan diri dalam acara sukan mahu pun aktiviti riadah yang dianjurkan kerana melalui program seumpama ini, ia mampu mencerna minda dan fizikal yang cerdas sekali gus membantu kita mengekalkan tahap kesihatan terbaik dalam menyempurnakan tugas seharian kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan acara penutup Sukan MARA Se-Malaysia kali ke 9 (SUKMAS 2017) yang diadakan di sini hari ini. SUKMAS bermula dari 19 hingga 23 Mac 2017 melibatkan penyertaan atlet MARA seramai 3,351 orang yang terdiri daripada warga MARA.

Ibrahim menambah terdapat 22 acara sukan dipertandingkan dalam SUKMAS pada kali ini antaranya bola sepak, memanah, bowling padang, bola jaring dan lain-lain lagi dan diharapkan pertandingan ini mampu memberikan impak positif dalam mengeratkan hubungan kekitaan sesama warga MARA.

“Selain bersukan, warga MARA yang hadir sudah pasti tidak akan melepaskan peluang untuk melawat dan mengunjungi lokasi-lokasi menarik di Negeri Perak, selaras dengan sambutan Tahun Melawat Negeri Perak 2017 yang sedang giat dipromosikan oleh Kerajaan Negeri Perak,” tambah beliau.

Sementara itu, Kontigen MARA Negeri Selangor telah muncul juara keseluruhan SUKMAS 2017 diikuti oleh MARA Negeri Perak (Naib Juara) dan MARA Negeri Kedah sebagai pemenang tempat ketiga.

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.