MRSM Kepala Batas Melahirkan Generasi Modal Insan Berasaskan Ulul Albab

Adik Ainuzzahirah bt Zulkarnain, menerima Anugerah Terbaik SPM 2016.

Oleh: Zuraini Sainal

Kepala Batas – Program Ulul Albab di MRSM yang diperkenalkan sejak 2009, kini telah menghasilkan seramai 1,138 orang hufaz dengan tiga (3) MRSM menjalankan program tersebut iaitu MRSM Kepala Batas dan dua yang lain iaitu Gemencheh dan Kota Putra.

Malahan sejak 2015, jumlah pelajar sulung Program Ulul Albab di MRSM Kepala Batas sehingga kini, telah berjaya melahirkan seramai 243 orang huffaz.

Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad berkata Program Ulul Albab dilihat dapat memberi nilai tambah dalam sistem pendidikan MRSM bagi memperkasakan pencapaian pelajar dalam STREAM (Science, Technology, Religion, Engineering, Arts, Mathematics) sekali gus menjadi penyumbang utama kepada pembangunan bangsa dan negara.

“Di dalam program ini, para pelajar akan  menghafaz Al-Quran 30 Juzuk dalam tempoh 3 tahun pengajian di MRSM dengan hasrat untuk melahirkan generasi al-Quran yang beriman, bertaqwa, berilmu, berakhlak mulia, berketerampilan dan bertanggungjawab,” katanya.

Para pelajar MRSM Ulul Albab diharap dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negara melalui pembudayaan Al-Quran selari dengan motto Ulul Albab itu sendiri iaitu ‘Ulul Albab Teras Ketamadunan Ummah’” tambahnya ketika berucap di Majlis Makan Malam Sempena 10 Tahun MRSM Kepala Batas di sini hari ini.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Bin Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.  Turut hadir Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Hajjah Majimor Binti Syariff.  Ahli Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican merangkap Penaung majlis ini turut hadir bersama pasangan.

Bagi menghargai serta mengiktiraf para pelajarnya, TYT telah menyampaikan anugerah kepada pelajar melalui kategori Anugerah Terpantas Hafazan kepada adik Arham Miqdad bin Amir Amran yang telah berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh 1 tahun 6 bulan serta Anugerah Kepimpinan Pelajar kepada adik Afiq Mustaqim bin Zuraiman.

Manakala Anugerah Terbaik SPM 2016 diberikan kepada adik Ainuzzahirah bt Zulkarnain.  TYT  berbesar hati melafazkan Perasmian dan dan Pelancaran Kutipan Dana Auditorium pada malam tersebut.

Pelbagai kejayaan lain telah ditempa oleh MRSM ini antaranya muncul sebagai Koperasi Terbaik semasa Hari Koperasi Sekolah anjuran Angkasa dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia, memenangi Pertandingan Pidato MAYC Peringkat Kebangsaan, johan dalam Kejohanan Ragbi 15 Sepasukan MSSPP 2016.

Manakala pada peringkat antarabangsa, MRSM Kepala Batas mendapat 2 perak dan 7 gangsa dalam penyertaan Singapore And Asian Schools Math Olympiad, mendapat 5 emas dalam Kem Kemahiran Pengakap Laut Kebangsaan 2016, johan Kuiz Pendidikan Marin Pengakap Laut Peringkat Kebangsaan 2016 dan johan Pertandingan Kuiz Sejarah Dan Patriotisme anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.

Bagi pencapaian SPM 2016 pula, MRSM Kepala Batas telah menduduki tempat ke-10 bagi pencapaian keseluruhan MRSM mengikut Gred Purata Maktab (GPM) ialah 2.1718 yang mana 93 orang pelajar atau sebanyak 53.8% daripada 173 pelajar mencapai keputusan 7A ke atas, dengan 65 orang atau 37.6% daripadanya mencapai 9A ke atas.

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged , . Bookmark the permalink.