MARA Meneruskan Legasi Inovasi

 

BM1A0750

Para penerima dana pembangunan program HIP 6 SME CORP di Yayasan Inovasi Malaysia Cyberjaya bersama Timb. Ketua Pengarah MARA, Abdul Halim Bin Abas ( 6 dari kiri).

Cyberjaya, 13 Mac – Majlis Amanah Rakyat (MARA) hari ini menerima Mock-Up Cheque daripada SME Corp Malaysia atas pemberian geran melalui Program HIP6 yang dikendalikan oleh Yayasan Inovasi Malaysia bagi memperkasakan usaha inovasi MARA dalam memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, Abdul Halim Bin Abas, MARA sendiri adalah agensi yang terhasil daripada inovasi kepimpinan terdahulu yang menginginkan perubahan, keutamaan dalam penghasilan inovasi melalui pelbagai transformasi merupakan antara perkara yang diberikan perhatian khusus oleh MARA dalam usaha mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.

“Melalui inovasi yang telah digerakkan secara berterusan dalam bidang keusahawanan, MARA telah melahirkan hampir 1 juta usahawan dalam pelbagai bidang yang seterusnya menyumbang penciptaan kekayaan kepada Bumiputera,” katanya.

Abdul Halim berkata, usaha meningkatkan inovasi ini juga diteruskan dengan penubuhan gugusan Institusi Pendidikan MARA (IPMa) meliputi dua aliran utama iaitu Akademik serta Teknikal dan Vokasional (TVET). Bahkan kemudahan penganjuran pelajaran turut disediakan oleh MARA bagi program dalam dan luar negara sejak 1966 yang mana sehingga kini seramai lebih 1.1 juta orang telah menerima manfaat daripada program-program pendidikan MARA ini.

“MARA turut menganjurkan program MARATeX yang diperkenalkan pada tahun 2016, melalui program ini warga MARA menyertai akan memperoleh peluang untuk menyertai pertandingan-pertandingan inovasi seperti Anugerah Inovasi MARA dan pertandingan-pertandingan inovasi peringkat dalam dan luar negara,” ulas beliau.

Abdul Halim menerangkan, program penilaian hasil inovasi hasil kerja warga MARA ini akan diberikan perlindungan harta intelek dan dikomersialkan, kolaborasi antara MARA dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) turut dijalankan bagi mendapat kepakaran dalam membantu pelaksanaan pertandingan ini.

“Melalui kolaborasi ini, dua (2) produk dari warga MARA iaitu Pandanus dan Gulago telah berjaya mendapat geran Program HIP6, selain dari itu Projek FoVer telah memenangi Pertandingan Anugerah Inovasi Negara 2016 dalam Kategori Sekolah,”.

Abdul Halim turut mengucapkan penghargaan kepada SME Corp Malaysia atas pemberian geran melalui Program HIP6 yang dikendalikan oleh YIM di mana kerjasama antara YIM dan Unit Inovasi dan Penyelidikan MARA yang telah menjayakan Program MARATeX 2016 hingga produk inovasi yang dihasilkan berjaya menerima geran ini.

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain and tagged . Bookmark the permalink.