MARA Bersama Komuniti Di Sungai Besar

Peserta dari penduduk kampung yang menyertai kursus sehari (bakery) oleh GIATMARA.

Sungai Besar, 11 Mac – Hubungan mesra antara MARA dan penduduk sekitar Sungai Besar dipereratkan lagi dengan perlaksanaan program MARA@Komuniti Sungai Besar yang diadakan buat julung kalinya.

Program yang dijalankan di empat kawasan iaitu Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab Sungai Besar, Kampung Binjai Jaya, Kampung Desa Kasih dan Kampung Hala Cara Baru itu disambut meriah dengan keterlibatan kakitangan dan para pelajar dibawah MARA bersama-sama dengan penduduk kampung.

Acara dimulakan dengan taklimat program oleh Pengetua MRSM Sungai Besar, Tuan Haji Sahiddn Bin Mahamud tentang program yang bakal dijalankan sepanjang hari dan faktor-faktor keselamatan yang perlu diambil kira ketika program sedang berjalan.

Program bermula dengan pelepasan peserta Kayuhan Muafakat yang akan menjelajah ke seluruh kawasan Sungai Besar, program berbasikal ini turut diselitkan dengan khidmat komuniti di mana para pengayuh yang diiringi oleh kenderaan pelbagai guna yang membawa muatan makanan untuk diserahkan kepada penduduk yang kurang bernasib baik.

Pengetua MRSM UA Sungai Besar (berbasikal lima dari kiri) turut menyertai Kayuhan Muafakat.

Pada masa yang sama di Padang Utama MRSM Sungai Besar juga turut diadakan Pertandingan Bola Sepak Muhibbah (9 Sebelah) antara kakitangan, pelajar dan penduduk kawasan setempat.

Guru-guru dan Kaunselor MRSM turut terlibat dalam menyediakan program Tuisyen & Bimbingan Akademik Pelajar yang berbentuk latih tubi akademik bagi para pelajar Sekolah Kebangsaan Binjai Jaya yang merupakan sekolah angkat MRSM.

Pelajar MRSM menjadi tutor kepada pelajar Sekolah Kebangsaan Binjai Jaya.

Pelbagai seminar keusahawanan dan kursus sehari juga diadakan, antaranya adalah Seminar Keusahawanan “Insan Bermotivasi” di Dewan Al-Bukhary, MRSM Sungai Besar, turut diadakan adalah kursus berkenaan kemahiran yang dianjurkan oleh GiatMARA di Balairaya JKKP & Dewan KEMAS, Kampung Hala Cara Baru.

Program MARA@Komuniti Sg Besar diakhiri dengan perhimpunan peserta yang terlibat di Masjid Binjai Jaya, di mana para peserta disambut dengan bacaan Al-Quran dan alunan Qasidah oleh para pelajar MRSM Sungai Besar, peserta juga disajikan dengan Nasi Gulai Kawah hasil kerjasama daripada warga MARA Sungai Besar dan penduduk Kampung Binjai Jaya.

 

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.