KPM Bantu Pelajar Luar Bandar Buat Pilihan

Orang ramai membanjiri Karnival Pendidikan Mara Pahang 2017 yang diadakan di Berjaya Megamall, Kuantan Pahang.

KUANTAN 12 Mac – Penganjuran Karnival Pendidikan MARA 2017 (KPM 2017) membantu pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) khususnya yang berada di luar bandar membuat pilihan bagi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi berdasarkan minat serta kelayakan masing-masing.

Pengarah Mara negeri, Ka­maruddin Awang berkata, program tahunan itu dapat membantu para pelajar untuk merancang masa depan dengan bijak menerusi platform perkongsian peluang pendidikan dan kerjaya secara terus kepada pelanggan.

“Selain peluang melanjutkan pelajaran, karnival ini menyediakan pelbagai aktiviti seperti khidmat kaunseling pendidikan, dan temuduga terbuka kepada para pelajar.

“Mara turut menyediakan peluang keusahawanan kepada pelajar yang berminat menceburi bidang ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran KPM 2017 di kompleks beli belah Berjaya Megamall di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Ahli Majlis Mara, Profesor Emiritus Datuk Dr. Abu Azam Md. Yassin.

Karnival dengan kerjasama Utusan Malaysia berkenaan berlangsung selama dua hari bermula semalam melibatkan 66 gerai pameran daripada institusi pendidikan Mara (Ipma) dan pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) lain.

Kamaruddin berkata, pe­nganjuran KPM 2017 di sini mendapatkan sambutan memberangsangkan apabila dianggarkan lebih 30,000 pengunjung menghadiri program dua hari berkenaan.

Beliau berkata, sebahagian besar pengunjung adalah pelajar terutama lepasan SPM dan STPM.

“Cuma kali ini, karnival diadakan sebelum keputusan SPM diumumkan. Jadi pelajar yang hadir tidak dapat menyesuaikan keputusan peperiksaan itu dengan pengajian atau bidang kemahiran yang ingin diceburi,” ujarnya.

Beliau berkata, reaksi yang diterima juga positif dan mereka yang hadir memperoleh maklumat secara terus daripada 66 pempamer pada karnival berkenaan.

Sumber dari : https://www.utusan.com.my/berita/nasional/kpm-bantu-pelajar-luar-bandar-buat-pilihan-1.456277

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged , . Bookmark the permalink.
%d bloggers like this: