Bahang Karnival Pendidikan MARA 2017 Turut Dirasai Di Kuantan

Pengunjung mendapatkan maklumat-maklumat pendidikan di booth pameran yang menyertai Karnival Pendidikan MARA 2017.

oleh Norzamsilawani Musa
media@mara.gov.my

Kuantan, 12 Mac – Jelajah Karnival Pendidikan MARA (KPM) 2017 diteruskan lagi pada minggu ini di Berjaya Megamall, Kuantan Pahang selama 2 hari bermula hari semalam.

Seperti mana lokasi lain, karnival ini bertujuan memberikan pendedahan dan maklumat kepada orang ramai mengenai peluang pendidikan dan latihan yang disediakan oleh Institusi Pendidikan MARA (IPMa), Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) di seluruh negara terutamanya kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2016.

Di Kuantan ini, sebanyak 51 buah gerai pemamer IPT menawarkan pelbagai maklumat dalam membantu pengunjung membuat pilihan melanjutkan pengajian dengan lebih bijak.

Bahkan, sesi kaunseling pendidikan dan permohonan secara terus kepada para pelajar berdasarkan minat dan kelayakan masing-masing turut disediakan.

Selain dari gerai IPT yang memberi informasi pengajian, Institusi Pendidikan MARA (IPMa) turut mengambil peluang menonjolkan bakat pelajarnya menerusi Pameran Inovasi oleh Institut Kemahiran MARA Tan Sri Yahya Ahmad seperti Electro-Magnet Training Kit, Battery Pole Clip, Stopcock Special Tool dan Produk CNC.

Manakala, Kolej Kemahiran Tinggi MARA pula mempamerkan hasil inovasinya seperti Glove Grinder Kit (GGK), Intelligent Sink (I-Sink), Idea Soldering Kit (ISK) dan SE Spot Weld (SSW).

Seorang pengunjung, Nur Ain Safiah Yusof, 17 tahun dari Sungai Lembing Kuantan amat teruja dengan aktiviti yang ditawarkan di sini yang mana beliau mendapat maklumat berkaitan KPM 2017 ini menerusi media sosial WhatsApp.

“Matlamat utama saya datang ke sini ialah bagi mendapatkan sendiri informasi berkaitan peluang melanjutkan pelajaran di samping membuat perbandingan dari pelbagai sudut. Program ini amat bagus dan saya berharap agar MARA terus menganjurkan karnival seperti ini di masa akan datang,” katanya.

Aktiviti menarik turut diadakan seperti cabutan bertuah, photo booth dan bengkel kewartawanan ditawarkan menerusi gerai Utusan di samping persembahan dikir barat dan gamelan dari pelajar MRSM serta pertandingan mewarna bagi kanak-kanak berusia 1 hingga 5 tahun.

Menurut Ismadi Abd Karim 55 tahun dari Jerantut yang menemani anaknya berkata karnival sebegini amat bagus diketengahkan kerana ianya merupakan platform yang sangat sesuai bagi mendapatkan segala informasi berkaitan pelajaran, halatuju kerjaya serta maklumat berkaitan tajaan pelajaran.

Selanjutnya, destinasi KPM 2017 akan disambung semula di dua lokasi pada 18 hingga 19 Mac iaitu di Plaza Angsana, Johor Bahru dan Sunway Carnival Convention Centre Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Apa lagi datanglah beramai-ramai dan jangan lepaskan peluang ini.

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.