Karnival Pendidikan MARA 2017 Terus Jadi Pilihan

KUALA LUMPUR 7 Mac – Karnival Pendidikan MARA 2017 terus menjadi pilihan golongan pelajar terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mendapatkan maklumat mengenai pelbagai tawaran pengajian oleh institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

Nur Farissa

Seorang pengunjung, Nur Farissa Ahmad Suzaimi, 18, berkata, karnival tersebut memberinya peluang untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai tawaran pengajian dan faedah yang boleh didapati untuk kemudahannya.

“Sebelum ini saya lebih ba­nyak mencari maklumat mengenai universiti menerusi Internet tapi dengan adanya Karnival Pendidikan MARA 2017, saya berpeluang bercakap secara terus dengan pihak berkaitan dan bertanya pelbagai soalan.

“Saya berminat untuk me­nyambung pengajian dalam bidang perubatan dan berharap dapat membuat keputusan untuk memasuki universiti mana selepas mengunjungi karnival ini,” kata­nya ketika ditemui Utusan Malaysia di Karnival Pendidikan MARA 2017 di sini hari ini.

Karnival yang dianjurkan de­ngan kerjasama Utusan Malaysia itu berlangsung selama dua hari bermula hari ini melibatkan lebih 100 gerai pameran daripada institusi pendidikan MARA dan pelbagai IPT lain.

Muhammad Aiman

Seorang lagi pe­ngunjung, Muhammad Aiman Shafiee, 20, pula menyatakan karnival tersebut perlu diadakan secara berterusan memandangkan semakin banyak IPT yang wujud di seluruh negara.

“Karnival ini memberi pendedahan dan sebagai ‘alert’ kepada golongan pelajar untuk tahu tentang tawaran pengajian yang dibuat oleh pelbagai IPT.

“Pada masa akan datang lebih banyak IPT bakal ditubuhkan dan penganjuran karnival ini merupakan pendekatan terbaik,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengurus Jabatan Pemasaran Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Mohd. Suzairy Shairy berkata, pe­nganjuran kali ini lebih meriah berbanding tahun lepas dan jumlah pengunjung juga dijangka meningkat.

“Karnival pendidikan ini memberi kami peluang untuk mempromosi tawaran pengajian di universiti kami dengan faedah dan mutu pendidikan yang terbaik,” katanya.

Penolong Pengurus Pemasaran Antarabangsa dan Jabatan Pendidikan Institut Latihan dan Pendidikan Ranaco, Wan Abdul Harith A. Halim pula memberitahu, golongan pelajar perlu tahu secara terus mengenai tawaran pengajian yang dibuat oleh IPT sekali gus membantu mereka membuat keputusan.

“Melalui karnival ini, kakita­ngan IPT dapat memberi pene­rangan dengan lebih jelas dan mudah difahami oleh pelajar, sekali gus membantu mereka membuat keputusan untuk me­nyambung belajar di tempat yang sesuai,” jelasnya.

Sumber dari : https://www.utusan.com.my/berita/nasional/karnival-pendidikan-mara-2017-terus-jadi-pilihan-1.453339

 

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged , . Bookmark the permalink.