Karnival Pendidikan MARA 2017 Di Ibu Negara

Remaja yang datang ke Karnival Pendidikan Mara mendengar penerangan serta mengisi borang untuk melanjutkan pengajian.

KUALA LUMPUR 7 Mac – Acara tahunan Karnival Pendidikan MARA 2017 yang diadakan secara jelajah di seluruh negara kini berlangsung di ibu negara.

Bertempat di Busana MARA dan aras enam Hotel Primera di Jalan Raja Laut, karnival selama dua hari bermula hari ini dari pukul 10 pagi hingga enam petang itu disertai 49 institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Penolong Pengarah Komunikasi Korporat MARA, Marliana Alias Ali berkata, ini adalah tahun ke-18 Karnival Pendidikan MARA diadakan. Karnival di ibu negara menyasarkan kehadiran lebih 200,000 pengunjung di Lembah Kelang.

“Banyak maklumat boleh diperolehi oleh pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia yang mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Mereka juga boleh memperoleh maklumat mengenai pinjaman pendidikan serta peluang untuk mendapatkan biasiswa,” jelas Marliana.

Karnival Pendidikan MARA sebelum ini telah diadakan di Perlis pada 25 dan 26 Februari diikuti Kelantan pada 4 dan 5 Mac lalu yang menyaksikan kehadiran lebih 160,000 pengunjung.

Selepas Kuala Lumpur, Karnival Pendidikan MARA akan diteruskan di Pahang dan Melaka pada 11 dan 12 Mac diikuti Pulau Pinang dan Johor pada 18 dan 19 Mac.

Karnival tersebut akan diteruskan di Sabah dan Perak pada 25 dan 26 Mac serta di Sarawak pada 30 dan 31 Mac.

Kemudian jelajah diteruskan di Kedah dan Selangor pada 1 dan 2 April serta Terengganu dan Negeri Sembilan pada 8 dan 9 April.

Sumber dari : https://www.utusan.com.my/berita/terkini/karnival-pendidikan-mara-2017-di-ibu-negara-1.453120

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged , . Bookmark the permalink.
%d bloggers like this: