Ibu Dan Anak Buktikan Wanita Boleh Berjaya Dalam Dunia Keusahawanan

Oleh Rahizul Zulhim Abdul Rahim
media@mara.gov.my

Bila berbicara tentang pokok kekabu, tentu ramai dalam kalangan kita akan mengimbas kembali nostalgia atau kenangan lama yang berkait rapat dengan tumbuhan ini.

Pokok kekabu atau nama saintifiknya Ceiba Pentandra merupakan sejenis pokok yang amat asing bagi rakyat Malaysia akan kegunaannya untuk menghasilkan bantal atau tilam bagi kegunaan harian melalui buahnya yang berbentuk kekapas.

Bersandarkan fakta ini, ia telah menjadi inspirasi kepada dua beranak yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak untuk menjadikan kekabu kepada asas produk perniagaan mereka dengan mengambil kira konsep “Back To Nature” melalui perniagaan yang diberi nama Bonda Manufacture (M) Sdn. Bhd.

Juga dikenali dengan nama Kekabu Bonda, perniagaan yang dijalankan oleh Marzitah Maarof (46) bersama anaknya, Masturah Mohd Khair (24) telah beroperasi selama 15 tahun bermula 2002 dan Alhamdulillah, perniagaan usahawan wanita ini berkembang maju dan semakin berdaya saing.

Mendapat bantuan berbentuk pinjaman perniagaan berjumlah rm250,000 daripada MARA pada tahun 2014, mereka yang ditemui baru-baru ini menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MARA atas bantuan yang diberi dalam memperbesarkan lagi tapak operasi perniagaan di samping memperluaskan pasaran produk ke negeri lain di Malaysia.

Beroperasi di Bendang Ujib Kati, Kuala Kangsar, kekabu bonda kini menghasilkan 45 produk seperti bantal, cadar, tilam, sejadah, barangan perhiasan dan sebagainya yang mana kesemua produk ini berasaskan 100% kekabu tanpa sebarang bahan campuran.

Sehingga kini, perniagaan mereka telah berkembang kepada 26 cawangan yang mana lapan cawangaan perniagaan mereka berada di negeri Perak, manakala 18 cawangan lagi beroperasi di Johor, Melaka, Kedah dan juga Pahang.

Menariknya, perniagaan yang beroperasi di Bendang Ujib Kati ini telah membuka 40 peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar. Jauh daripada itu, perniagaan mereka turut memberi manfaat kepada pengedar-pengedar di samping menawarkan perniagaan berbentuk francais kepada usahawan seluruh Malaysia.

Hingga kini, kekabu bonda turut mempunyai rangkaian 26 pemborong dan 23 kios seluruh Perak malah pengguna boleh mendapatkan produk mereka di pasaraya terkenal seperti Mydin, Tesco dan AEON.

Kini, mereka mampu mencapai jualan melebihi setengah juta sebulan dan mengulas mengenai perancangan lanjut, Marzitah dan Masturah menyatakan mereka kini sedang berusaha untuk menembusi pasaran ke luar negara seperti Singapura dan Brunei.

Kepada pengguna yang ingin mendapatkan produk Kekabu Bonda ini, anda boleh mendapatinya melalui pembelian secara online dengan melayari laman web http://www.perusahaanbonda.blogsport.com atau http://www.kekabubonda.com.

Advertisements
This entry was posted in Usahawan and tagged , , . Bookmark the permalink.