Hari Bekerja Tidak Halang Pengunjung Hadir Ke Karnival Pendidikan MARA 2017 Kuala Lumpur

Karnival Pendidikan MARA 2017 peringkat Kuala Lumpur berjaya menarik perhatian para pengunjung dari luar Lembah Klang.

oleh Zuraini Sainal
media@mara.gov.my

Kuala Lumpur, 8 Mac – Meskipun telah memasuki hari kedua Karnival Pendidikan MARA 2017 peringkat Wilayah Persekutuan yang bermula semalam masih mendapat sambutan hangat walau pun dianjurkan pada hari bekerja.

Menurut salah seorang pengunjung Fuziah Abu Samad, beliau sanggup mengambil cuti pada hari tersebut bagi mendapatkan maklumat pengajian ke menara gading untuk anaknya, Syed Ibrahim 18 tahun lepasan SPM yang tidak dapat hadir kerana bekerja.

“Anak saya meminati dua bidang ini iaitu Komunikasi dan Media Grafik dan dengan adanya karnival ini ia dapat membantu saya membuat perbandingan kedua-dua bidang di samping yuran pengajian, tempoh pengajian dan kemudahan yang ditawarkan oleh IPT” katanya.

Selain itu, lebih dari 100 gerai pemamer yang terdiri dari IPMA, IPTA dan IPTS serta gerai Utusan yang menawarkan harga diskaun produk kepada pengunjung, cabutan bertuah dan mini studio menyertai karnival ini.  Turut serta ialah gerai agensi kerajaan dan gerai pemamer bahagian-bahagian MARA yang memberi khidmat nasihat dan rundingan kepada para pengunjung seperti Kawalan Kredit, Penganjuran Pelajaran, Pendidikan Tinggi dan Kemahiran dan Teknikal.

Anis Noraina dari Rawang pula berkata beliau berharap kunjungannya dapat membantu memilih bidang yang bersesuaian dengan minat dan sekaligus ia membantu laluan kerjaya beliau pada masa hadapan.

“Saya mendapat maklumat mengenai karnival ini melalui Facebook MARA dan bunting yang dipaparkan sepanjang jalan raya” katanya.

Apa yang menarik lagi di karnival ini ialah tawaran pengecualian yuran di IPMa terpilih iaitu di IKM, KKTM dan KPM yang secara tidak langsung membantu mengurangkan beban kewangan pelajar dan ibu bapa.  Bahkan para pengunjung turut dikongsikan tips dan panduan bagi melanjutkan pengajian ke luar negara oleh Cik Norhafizatul Zainol seorang penulis yang berkaliber yang pernah belajar di luar negara suatu masa dahulu.

Sementara itu, selari dengan usaha MARA untuk membantu usahawannya lebih 20 gerai usahawan Kompleks Industri Makanan MARA (KIMAR) ditempatkan di lobi ibu pejabat MARA dengan jualan produk yang datangnya dari kilang yang menjual pelbagai jenis produk seperti pastri, coklat, kuih tradisional, biskut dan banyak lagi.

Bagi meneruskan bahang kehangatan destinasi Karnival Pendidikan MARA 2017 selanjutnya, orang ramai dijemput hadir ke dua lokasi serentak pada 11 hingga 12 Mac di Megamall Kuantan Pahang dan KIP Mart, Bachang Melaka.  Jumpa di sana!!!!.

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged , . Bookmark the permalink.