10,000 Pengunjung Serbu Karnival Pendidikan MARA Kelantan Pada Hari Pertama

Pengunjung sedang khusyuk mendengar penerangan dari salah seorang wakil IPT

Pengunjung sedang khusyuk mendengar penerangan dari salah seorang wakil IPT

Kota Bharu, 4 Mac – Karnival Pendidikan MARA 2017 meneruskan lagi destinasinya yang kedua bertempat di Tapak Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu Kelantan hari ini dan esok.   Lebih 70 pemamer yang membabitkan institut pendidikan MARA (IPMa), institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) serta beberapa agensi kerajaan dan swasta menyertai karnival berkenaan.

Pengarah MARA Kelantan, Ismail Abdullah mengalu-alukan kehadiran para pengunjung ke karnival ini yang menjadi platform bagi membantu para pelajar dan ibu bapa untuk membuat sendiri penilaian dan perancangan pendidikan yang sewajarnya dalam melanjutkan pengajian ke menara gading.

Salah seorang pengunjung Abdul Rahman Abdullah bapa kepada anak lepasan SPM 2016 menyatakan beliau dan anaknya berkunjung ke karnival tersebut bagi mendapatkan informasi mengenai peluang pendidikan sebaik sahaja keputusan SPM yang akan diumumkan pada pertengahan Mac ini.

“Anak saya amat meminati bidang perubatan dan akan mempertimbangkan pemilihan kemasukan ke IPT yang bersesuaian berdasarkan kepada beberapa faktor seperti kos, lokasi, penajaan dan tempoh pengajian” katanya.

Nor Syuhada Suhaimi salah seorang Eksekutif Pemasaran IPTS terkenal di Selangor yang turut ditemubual menyatakan bahawa gerai mereka mendapat sambutan yang amat menggalakan dari segi kedatangan pengunjung dan kolejnya menawarkan pelbagai bidang yang menarik seperti  Kejuruteraan, Komunikasi, Sains, Teknologi Maklumat, Perakaunan, Perniagaan dan banyak lagi.  Pertimbangan dari segi penajaan dan bantuan kewangan turut ditawarkan oleh kolej tersebut.

Sementara itu selain dari gerai IPT turut dibuka beberapa kaunter bahagian seperti Penganjuran Pelajaran, Kawalan Kredit, Kemahiran dan Teknikal serta Pendidikan Tinggi MARA.

Menurut Puan Rokiah Ismail yang berkunjung ke gerai Kawalan Kredit menyatakan beliau hadir bagi membuat semakan baki pinjaman pelajaran anaknya yang baru sahaja tamat pengajian.

Dalam temubual bersama Hazwan Hairul, Eksekutif Pengurusan Jenama Utusan menyatakan Kelantan merupakan salah sebuah lokasi terpilih selain empat lagi lokasi KPM 2017.  Apa  yang menarik di gerai ini ialah pelbagai aktiviti seperti cabutan bertuah dengan hadiah berupa gajet, jualan produk terbitan anak syarikat Utusan Melayu (M) Berhad pada harga diskaun serta mini studio yang menawarkan sesi fotografi bagi cover majalah dari jurugambar profesional mereka.

Bersempena dengan karnival ini juga turut diadakan lintas langsung bersama Radio Kelantan FM diiringi dengan kuiz KPM 2017 berserta hadiah kepada para pengunjung dan gerai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagi mengetahui pengisian selanjutnya jumpa lagi esok untuk hari kedua pada jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang di luar perkarangan Tapak Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu Kelantan.

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged , , , . Bookmark the permalink.