MRSM Sultan Azlan Diisytihar Sebagai Nama Baharu MRSM Kuala Kangsar

menyempurnakan gimik perasmian MRSM Kuala Kangsar.

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyempurnakan gimik perasmian Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar.

KUALA KANGSAR, 2 Mac – Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbudin Shah telah berkenan MRSM Sultan Azlan Shah sebagai nama baharu MRSM Kuala Kangsar pada perasmian institusi itu di sini hari ini.

Pengisytiharan ini diambil sempena nama ayahanda Baginda, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah, Sultan Perak Yang ke-34.

Turut berangkat pada majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah serta Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama adalah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Di dalam ucapannya, Ismail Sabri menjelaskan bahawa MRSM Sultan Azlan merupakan MRSM kelapan di Negeri Perak dan sejajar dengan peranan MARA sebagai agen perubahan sosio ekonomi, institusi ini akan menjadi pemangkin bukan sahaja dari sudut limpahan ekonomi, tetapi juga menjadi pencetus kecemerlangan pendidikan anak-anak tempatan.

“Bermula dengan penubuhan MRSM yang pertama di Seremban, Negeri Sembilan pada 1972, kini terdapat 52 MRSM di seluruh negara yang bertujuan memperluaskan lagi penyertaan Bumiputera dalam bidang sains, teknologi, pengurusan dan kerjaya di tahap profesional di samping mendaulatkan mereka dalam bidang keusahawanan melalui pendidikan,” katanya.

Tambahnya lagi, sehingga kini MRSM telah melahirkan lebih 170,000 pelajar dan ramai dalam kalangan mereka telah menjadi tokoh penting negara seperti pemimpin politik, pemimpin korporat, pemimpin kerajaan, ketua-ketua jabatan kerajaan, usahawan berjaya dan golongan profesional.

“Kejayaan ini adalah hasil daripada keterbezaan sistem pendidikan MRSM yang telah dirangka bagi memastikan kecemerlangan yang dicapai oleh para pelajar adalah bersifat holistik dalam usaha melahirkan modal insan yang berilmu serta berupaya untuk menghasilkan pemimpin dalam pelbagai bidang yang berpotensi tinggi pada masa hadapan,” katanya lagi.

Beliau turut menjelaskan bahawa kecemerlangan MRSM ini adalah berpaksikan keterbezaan program yang menjurus ke arah piawaian dunia melalui pemerkasaan pencapaian pelajar dalam STREAM (Science, Technology, Religion, Engineering, Arts, Mathematics) dan penerapan Information & Communication Technology (ICT) dalam pedagoginya.

“Dalam usaha menyediakan modal insan yang mampu bersaing di peringkat global, beberapa program khas telah ditambah ke dalam Sistem Pendidikan Maktab Rendah Sains MARA (SPMRSM) sejak beberapa tahun lalu seperti penawaran dwisijil seperti International General Certificate for Secondary Education (IGCSE), MRSM Ulul Albab dan juga MRSM Teknikal,” jelasnya lagi.

 

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.