MARA masih taja 200,000 pelajar

Ismail Sabri Yaakob

Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR 21 Feb. – Seramai 200,000 pelajar di bawah Institusi Pendidikan MARA (Ipma) ketika ini diberikan yuran pe­ngajian percuma dan kemudahan elaun pelatih.

Menteri Kemajuan Luar Ban­dar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mana-mana pelajar di institusi berkenaan yang masih belum menerima kemudahan pinjaman pelajaran MARA kini sedang dalam tindakan dan akan di­selesaikan da­lam masa terdekat.

Beliau menjelaskan, badan berkenaan sememangnya membantu pelajar-pelajar miskin di luar bandar dan bandar yang mengikuti pengajian di pelbagai peringkat dalam negara, khususnya di institusi itu seperti GiatMARA, Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) dan Kolej Profesional MARA.

“Pinjaman yang diberikan adalah berdasarkan kepada status sosioekonomi seperti pelajar daripada keluarga berpendapatan sebanyak RM8,000 sebulan dan ke bawah layak dipertimbangkan untuk menerima penajaan penuh meliputi yuran pengajian dan elaun sara hidup (ESH) manakala bagi pelajar daripada keluarga berpendapatan melebihi RM8,001 hingga RM 15,000 sebulan pula layak dipertimbangkan untuk mendapat sebahagian daripada penajaan sahaja, sama ada yuran pengajian atau ESH.

“Untuk pelajar yang keluarga berpendapatan RM15,001 ke atas pula hanya layak dipertimbangkan penajaan melalui lain-lain sumber seperti program kerjasama MARA dan bank-bank tempatan, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pada masa sama, MARA kini sedang menaja lebih 78,000 pelajar di pelbagai peringkat pengajian dalam dan luar negara meliputi program persediaan (A-Level dan International Baccalaureate), diploma, ijazah sarjana muda, profesional, ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD).

Di samping itu katanya, pihaknya akan turut meneruskan penajaan kepada para pelajar di universiti-universiti swasta lain sehingga mereka tamat pengajian.

“MARA turut menegaskan bahawa kadar yuran asrama di kampus-kampus Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dikekalkan pada kadar RM120 sebulan.

“Sesungguhnya MARA komi­ted dan akan kekal menaja pendidikan bumiputera terutama kepada mereka yang memerlukan, di samping menyediakan kemudahan pembelajaran yang terbaik dan kondusif di Ipma,” katanya.

Sumber : https://www.utusan.com.my/berita/nasional/mara-masih-taja-200-000-pelajar-1.447813

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.