MARA Akan Selesaikan Bayaran Pinjaman Pendidikan

Menteri Kementerian Pembangunan Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) dan Pengerusi Sementara MARA, Datuk Dr Yusof Yacob (dua dari kanan) beramah mesra bersama penerima anugerah pada Majlis Perkhidmatan Cemerlang KKLW tahun 2016 di Dewan MAEPS, Serdang. - Foto Asyraf Hamzah

Menteri Kementerian Pembangunan Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) dan Pengerusi Sementara MARA, Datuk Dr Yusof Yacob (dua dari kanan) beramah mesra bersama penerima anugerah pada Majlis Perkhidmatan Cemerlang KKLW tahun 2016 di Dewan MAEPS, Serdang. – Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Bayaran kemudahan pinjaman pelajaran Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan diselesaikan dalam masa yang terdekat, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, MARA sedang mengambil beberapa tindakan untuk menyelesaikan masalah pemberian kemudahan pinjaman itu kepada pelajar di Institusi Pendidikan MARA (IPMa) di seluruh negara.

Katanya, MARA kini menaja lebih 78,000 pelajar di pelbagai peringkat pengajian dalam dan luar negara membabitkan program persediaan (A-Level dan International Baccalaureate), Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Profesional, Sarjana dan Kedoktoran.

“Pada masa ini, seramai 200,000 pelajar berada di dalam sistem pendidikan MARA. Pelajar yang melanjutkan pengajian di GiatMARA, Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) dan Kolej Profesional MARA menerima kemudahan elaun pelatih serta yuran percuma,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjelaskan rungutan ramai mengenai kelewatan pembayaran kemudahan pinjaman serta masalah kenaikan yuran asrama di kampus Universiti Kuala Lumpur (UniKL) seperti yang heboh diperkatakan di laman sosial.

Ismail Sabri berkata, MARA sememangnya membantu pelajar miskin di luar bandar dan bandar yang mengikuti pengajian di pelbagai peringkat di negara ini khususnya di IPMa .

Katanya, pinjaman yang diberikan adalah berdasarkan kepada status sosioekonomi pelajar berdasarkan tiga kriteria iaitu pelajar dari keluarga berpendapatan RM8,000 sebulan dan ke bawah layak dipertimbangkan untuk menerima penajaan penuh membabitkan yuran pengajian dan elaun sara hidup (ESH); pelajar dari keluarga berpendapatan melebihi RM8,001 hingga RM15,000 sebulan untuk mendapat sebahagian daripada penajaan (yuran atau ESH) dan pelajar dari keluarga berpendapatan RM15,001 ke atas hanya layak dipertimbangkan melalui lain-lain sumber seperti program kerjasama MARA dengan bank tempatan, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) dan lain-lain.

Jelas beliau, bagi pelajar di Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) yang telah dan sedang mendapat kemudahan penajaan pula, MARA akan meneruskan penajaan sehingga mereka menamatkan pengajian.

Sementara itu, katanya kadar yuran asrama di kampus Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dikekalkan pada kadar RM120 sebulan.

“Sesungguhnya MARA komited dan akan kekal menaja pendidikan Bumiputera terutama kepada mereka yang memerlukan, di samping menyediakan kemudahan pembelajaran yang terbaik dan kondusif di IPMa,” katanya.

Sumber dari : https://www.bharian.com.my/node/251234?m=1

Advertisements
This entry was posted in Berita Kejayaan and tagged , . Bookmark the permalink.