7 Pelajar Pikul Cabaran Robotik Di AS

Pro Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz (tengah), Pengarah Urusan Robotics Learning (M) Sdn Bhd, Ilylia Kamaruzaman dan pelajar yang terpilih bergambar kenangan selepas majlis perasmian pertandingan Malaysia VEX Robotics, hari ini.

Pro Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz (tengah), Pengarah Urusan Robotics Learning (M) Sdn Bhd, Ilylia Kamaruzaman dan pelajar yang terpilih bergambar kenangan selepas majlis perasmian pertandingan Malaysia VEX Robotics, hari ini.

NILAI: Tujuh pelajar berusia antara 15 dan 17 tahun dipilih mewakili Malaysia pada pertandingan robotik Cabaran FIRST Global di Washington D.C., Amerika Syarikat pada 16-18 Julai depan.

Mereka adalah Raja Adam Ahmad Raja Iskandar dari SMK Kubang Kerian, Muhammad Razif Jamil (MRSM Lenggong), Janice Poh Zi Yi (SMK Convent Taiping), Muhammad Rais (Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud).

Muhammad Arash Danial Mohd Hamdan (MRSM Johor Bahru) serta Khairul Amirin Syahrean dan Muhammad Fakhrul Khir Abdul Samat (Kolej Melayu Kuala Kangsar) manakala Pengetua Kolej Melayu Kuala Kangsar, Anand Baharuddin menjadi guru pengiring serta mentor.

Pengarah Urusan Robotics Learning (M) Sdn Bhd, Ilylia Kamaruzaman berkata mereka dipilih daripada 500 pelajar di 2,000 sekolah di seluruh negara yang menghantar permohonan.

“Cabaran FIRST Global adalah pertandingan robotik seakan Olimpik yang akan melibatkan 120 negara,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas perasmian pertandingan Malaysia VEX Robotics oleh Pro Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz di sini, hari ini. Turut hadir Naib Canselor USIM Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad.

Ilylia berkata, syarikatnya telah memperkenalkan program robotik sejak 2009 dan percaya ramai pelajar Malaysia mampu menjadi pakar dalam bidang robotik berteknologi tinggi jika mereka terus diberi peluang.

Mengenai pertandingan Malaysia VEX Robotics, Ilylia berkata, pelajar bukan sekadar bertanding, tetapi apa yang lebih utama ialah proses yang mereka lalui sebelum pertandingan di mana mereka dikehendaki mendokumentasikan proses rekaan robot dan pengaturcaraan yang telah dilakukan dalam bentuk jurnal.

Selain itu, katanya mereka dikehendaki bekerjasama dalam satu kumpulan dan memastikan setiap anggota menyumbang kepakaran masing-masing dalam binaan dan pengaturcaraan robot. – BERNAMA

Sumber dari : http://www.bharian.com.my/node/250436

 

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged , , . Bookmark the permalink.