3,758 Usahawan Terima Pembiayaan SPED

Ismail Sabri Yaakob (dua dari kiri) bersama Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II merangkap Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Pembangunan Perindustrian Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (tengah) menyampaikan Anugerah Usahawan Ikon Karnival Usahawan Desa (KUD) 2016 Peringkat Negeri Sarawak kepada pengasas syarikat Red Profile Sdn. Bhd., Normah Ibrahim

Ismail Sabri Yaakob (dua dari kiri) bersama Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II merangkap Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Pembangunan Perindustrian Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (tengah) menyampaikan Anugerah Usahawan Ikon Karnival Usahawan Desa (KUD) 2016 Peringkat Negeri Sarawak kepada pengasas syarikat Red Profile Sdn. Bhd., Normah Ibrahim

KUALA LUMPUR 10 Feb. – Seramai 3,758 usahawan bumiputera di luar bandar telah menerima pembiayaan Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) yang dilaksanakan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dengan sebanyak RM377.7 juta telah diluluskan sejak tahun 2001.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sejak dilaksanakan 16 tahun lalu sambutan terhadap SPED adalah sa­ngat positif dengan secara purata, 260 hingga 290 orang usahawan mengemukakan permohonan se­tiap tahun dengan kadar kelulusan antara 70 peratus hingga 80 peratus.

“Pada tahun lalu sahaja, seramai 75 usahawan luar bandar te­lah menerima pembiyaan SPED dengan kelulusan berjumlah lebih RM9 juta. Pembuatan dan perkhid­matan menjadi sektor pa­ling banyak memperoleh pem­biayaan SPED,” katanya.

Tambahnya, sambutan yang menggalakkan dalam kala­ngan usahawan bumiputera luar bandar adalah ditambah dengan ciri-ciri istimewa pelaksanaan SPED antaranya pembia­yaan tersebut yang berlandaskan konsep syariah iaitu Ijarah Thummalbai, Bai Bithnaman Ajil, Bay-Darn dan Al-Qar­dhul Hassan.

“Ciri istimewa lain adalah kemudahan pembiayaan tanpa cagaran yang sukar diperoleh daripada mana-mana institusi perbankan pada masa kini. Bagi peminjam SPED, mesin dan peralatan yang dibiayai berdasarkan perjanjian akan menjadi cagaran kepada peminjam oleh itu pemin­jam tidak perlu menyediakan cagaran lain untuk mendapatkan pembia­yaan.

“Tempoh tangguhan (grace period) selama enam bulan kepada pengusaha bermula dari tarikh pengeluaran pinjaman juga menjadi salah satu ciri istimewa pelaksanaan SPED. Inisiatif ini bertujuan memberi ruang kepada pengusaha untuk menyesuaikan kedudukan kewangan perniagaan mereka dengan komitmen baharu,” katanya.

Jelas Ismail Sabri lagi, ke­lebihan yang paling unik bagi SPED adalah pemberian Muqasah atau rebat dengan pemberian geran kerajaan sebanyak 30 peratus dipertimbangkan kepada pe­minjam yang layak dan memenuhi kriteria ditetapkan.

“Kira-kira 329 daripada jumlah usahawan yang dibiayai te­lah menerima manfaat daripada pemberian Muqasah ini. Mereka ini telah menunjukkan rekod baik dalam urusan pembayaran balik pinjaman dan telah menunjukkan peningkatan dalam perniagaan selepas mendapat pembiayaan SPED.

“Insentif ini merupakan kemudahan yang dapat memotivasikan serta mengurangkan beban tanggungan pinjaman dan memboleh­kan mereka memanfaatkannya untuk tujuan pengembangan perniagaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, tambahnya, SPED diperkenalkan bagi mencapai objektif utamanya iaitu menyediakan kemudahan pembiayaan kepada usahawan bumiputera di luar bandar selain membangunkan mereka di dalam semua bidang ekonomi yang berdaya maju.

“SPED turut ditubuhkan bagi menggalakkan penglibatan dan pembangunan usahawan bumiputera bagi mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan serta perniagaan yang berdaya maju kepada masyarakat luar bandar selain memajukan sektor-sektor ekonomi yang berpotensi tinggi di luar bandar,” katanya.

Katanya lagi, di bawah SPED, kerajaan bertindak selaku pemilik dana dan melantik institusi kewangan yang dikawal selia oleh Bank Negara iaitu Bank Rakyat dan SME Bank sebagai pengurus dana.

“Selain melaksanakan pengu­rusan dana, kedua-dua bank ini juga terlibat dalam memberi ­khidmat nasihat, khidmat soko­ngan, khidmat susulan serta latihan kepada usahawan yang mendapat kemudahan pembia­yaan di bawah SPED,” katanya.

Menurut Ismail Sabri lagi, sejak ditubuhkan pada 2001, SPED mengalami evolusi dengan penambahbaikan yang berterusan dengan skop pembiayaan yang ditawarkan lebih menyeluruh merangkumi pelbagai sektor ekonomi yang berpotensi di luar bandar.

“Selain sektor pertanian, penternakan, pembuatan dan pelancongan desa, skop pembiayaan turut merangkumi sektor per­khidmatan lain seperti sektor perkhidmatan, peruncitan, perubatan, profesional dan kesihatan serta kecantikan.

“Bentuk-bentuk pinjaman yang dibiayai oleh SPED turut diperluaskan sesuai dengan ke­perluan dan perkembangan perniagaan seperti pembelian mesin dan peralatan, modal kerja dan juga mengubah suai atau menaik taraf premis perniagaan serta per­usahaan sedia ada,” katanya.

Sementara itu, tambahnya, selepas 16 tahun, SPED perlu diperkukuhkan dengan menawarkan perkhidmatan pembiayaan keusahawanan yang dapat memenuhi keperluan, menyokong daya saing dan pertumbuhan ekonomi serta perniagaan usahawan luar bandar supaya kekal re­levan dalam pasaran semasa.

“Antara peluang yang boleh diterokai di bawah skim ini ialah menggerakkan produk perkhid­matan pembiayaan baharu yang berorientasikan pasaran, mendukung usahawan luar bandar yang beralih kepada asas ekonomi yang mengutamakan pengetahuan kemahiran, teknologi dan kepakaran tinggi bagi menyemai keusahawanan kreatif dan inovatif.

“Selain itu, SPED perlu memperluaskan perkhidmatan pembiayaan dalam rantaian bekalan dan kitaran perniagaan yang mampu mewujudkan ekosistem keusahawanan luar bandar yang mampan,” katanya.

Sumber dari : https://www.utusan.com.my/berita/nasional/3-758-usahawan-terima-pembiayaan-sped-1.443043

Advertisements
This entry was posted in Berita Kejayaan, Usahawan. Bookmark the permalink.
%d bloggers like this: