KPTM bantu dua penuntut kematian ibu bapa

HIDAYATUL NABILAH MOHD. SHAFIEE (tiga dari kiri) bersama Hafizah menunjukkan replika cek sumbangan menerusi Program KPTM Sehati Sejiwa dalam majlis ringkas di Kampung Peramu Jaya 3, Pekan, Pahang, kelmarin.

HIDAYATUL NABILAH MOHD. SHAFIEE (tiga dari kiri) bersama Hafizah menunjukkan replika cek sumbangan menerusi Program KPTM Sehati Sejiwa dalam majlis ringkas di Kampung Peramu Jaya 3, Pekan, Pahang, kelmarin.

PEKAN 8 Feb. – “Arwah ayah berpesan kepada kami supaya pandai menguruskan kewangan sendiri lebih-lebih lagi yang melibatkan wang untuk pelajaran.

“Tidak sangka itu pesanan terakhirnya sebelum terlibat kema­lang­an,” kata Hafizah Mohd. Sha­fiee, 21, anak pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan jalan raya di Rompin, dekat sini bulan lalu.

Penuntut semester lima Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kuantan dekat sini itu berkata demikian ketika ditemui selepas menerima sumbangan menerusi Program KPTM Sehati Sejiwa di Kampung Peramu Jaya 3 di sini semalam.

Hafizah berkata, sebelum kejadian, dia meminta bapanya, Mohd. Shafiee Ngah, 50, untuk mengisi permohonan zakat pelajaran daripada Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip ) iaitu sehari sebelum dia terlibat dalam kemalangan maut tersebut.

“Itu kali terakhir saya berkomunikasi dengan ayah. Pesanannya masih segar dalam ingatan saya sebagai peringatan kepada kami adik beradik untuk lebih berdikari selepas mereka mening­gal,” katanya.

Mohd. Shafiee dan isterinya, Nohazaimi Abd. Wahab, 48, me­ninggal dunia dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer (km) 116, Jalan Kuantan – Johor Bharu berhampiran Simpang Summer Set dekat Rom­pin pada 22 Januari lalu.

Difahamkan, pasangan berke­naan dalam perjalanan pulang dari Mersing ke Kuantan bersama anak bongsu mereka, Muhammad Faris yang mengalami kecederaan di kepala.

Sementara itu, anak sulung pasangan tersebut, Hidayatul Nabilah, 22, penuntut semester lima KPTM Batu Pahat, Johor berkata, dia akan berusaha sebaik mungkin untuk menjaga lima adiknya selepas kehilangan ibu dan bapa.

Katanya, mereka enam beradik kini tinggal bersama datuk mereka, Abd. Wahab Abd. Rahman, 69 di kampung tersebut.

Dalam pada itu, atas dasar keperihatinan dan tanggungjawab sosial, nasib dua penuntut itu mendapat perhatian pengurusan tertinggi KPTM yang menghulurkan sumbangan wang tunai sebanyak RM7,000 dan hamper barangan keperluan harian.

Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi KPTM, Datuk Ahmad Nazlan Idris yang berharap bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka sekeluarga.

“KPTM akan menubuhkan tabung wakaf untuk penuntut yang memerlukan sumbangan. Sumbangan ini bukan sahaja daripada warga KPTM sendiri malah terbuka kepada orang awam untuk membantu penuntut yang kurang bernasib baik,” katanya.

Sumber : https://www.utusan.com.my/berita/wilayah/kptm-bantu-dua-penuntut-kematian-ibu-bapa-1.442184

Advertisements
This entry was posted in Korporat. Bookmark the permalink.