Berniaga Tapai Pun Boleh Dapat RM100k Sebulan

tapai_sarimah

Siapa kata perniagaan kuih tradisional tidak mampu menjana pendapatan lumayan kepada kita. Ini dibuktikan oleh Sarimah Binti Kesip@Rashid apabila perniagaan tapai pulut yang dijalankan di Tanjung Bidara Melaka mampu menghasilkan jualan hampir RM100,000 sebulan melalui 100,000-120,000 produk tapai yang dihasilkan.

Produk yang diambil sempena namanya, Tapai Pulut Sarimah diilhamkan bersama suami beliau Abd Aziz Jais kini menguasai 80% pasaran di negeri Melaka malah turut dipasarkan di negeri-negeri lain seperti di Johor, Negeri Sembilan dan juga Lembah Klang.

Ranjau Perniagaan
Mengimbas kembali permulaan perniagaan beliau, Sarimah yang ditemui baru-baru ini menyatakan berbagai ranjau dan pahit getir turut dilalui beliau. Dengan tiada pengalaman asas dalam perniagaan dan situasi ekonomi yang mencabar pada tahun 1998, beliau menanam tekad untuk menceburi perusahaan pembuatan tapai pulut secara komersial.

“Di awal bertatih dalam perniagaan ini, pelbagai cabaran terpaksa saya lalui bersama suami, antaranya terpaksa menjual kenderaan bagi menampung kerugian akibat tapai yang rosak dan yang tidak laku,” katanya.

Bantuan Kerajaan
Namun, ranjau ini tidak dihiraukan malah beliau bangkit dengan semangat yang lebih gigih dalam memperkembangkan lagi pernigaan beliau. Usaha ini mendapat perhatian apabila beliau dibantu oleh agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Ketua Menteri Melaka, MARA, FAMA, TEKUN serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

Antara sokongan yang diberikan peruntukan membina bengkel, pemasaran dan pelabelan, bantuan kewangan dan juga khidmat nasihat perniagaan.

Sarimah berkata beliau amat berterima kasih dengan sokongan dan kepercayaan yang diberikan oleh agensi-agensi kerajaan ini dalam memberi bantuan dan sokongan kepada beliau sehingga sampai ke peringkat ke hari ini.

“Agensi-agensi ini amat dekat bukan sahaja kepada saya malah kepada seluruh keluarga saya.

Sebagai contoh, saya amat berterima kasih kepada MARA yang bukan sahaja memberi pinjaman perniagaan kepada saya, malah anak-anak saya turut berpeluang melanjutkan pengajian di bawah kemudahan MARA,” katanya lagi.

Transformasi perniagaan
Di peringkat permulaan, beliau dan suami membungkus tapai pulut mereka dengan menggunakan daun pisang, daun balek angin dan juga daun getah  menurut resepi tradisional Negeri Melaka. Sejajar dengan, peredaran semasa, beliau kini turut tampil dengan bentuk label dan pembungkusan yang lebih moden dan menarik.

Hampir 20 tahun berkecimpung dalam arena ini, beliau kini boleh berbangga apabila perniagaannya semakin berkembang maju yang mana anak-anak beliau turut dilibatkan dengan memainkan peranan penting dalam urusan pentadbiran perniagaan beliau yang kini mempunyai 15 orang pekerja.

Beliau turut mengorak langkah dengan merancang untuk membina kilang pembuatan tapainya bagi memenuhi permintaan yang semakin tinggi termasuk daripada negara luar seperti Singapura, Indonesia dan India.

“Saya harap perancangan ini mampu direalisasikan kerana bukan sahaja memberi faedah pendapatan kepada saya sahaja tapi dapat membantu masyarakat sekeliling melalui peluang-peluang pekerjaan kepada mereka,” jelasnya lagi.

Advertisements
This entry was posted in Usahawan and tagged , . Bookmark the permalink.