7,000 PENYERTAAN SAH SERTAI KARNIVAL SYOKNYA ANSARA KE-18

Abdul Halim Abas, tiga dari kiri, menerima piala pusingan kejohanan daripada juara edisi terdahulu, ANSARA Kuantan

Abdul Halim Abas, tiga dari kiri, menerima piala pusingan kejohanan daripada juara edisi terdahulu, ANSARA Kuantan

oleh Zuraini Sainal
media@mara.gov.my

KUALA LUMPUR, 7 Februari – Anak-anak Sains MARA (ANSARA) yang merupakan alumni gabungan pelajar MRSM seluruh Malaysia akan menganjurkan Karnival Syoknya ANSARA kali ke 18 bermula 25 hingga 26 Februari 2017 bertempat di Pusat Sukan, Universiti Malaya.

Pra-pelancaran karnival ini telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah MARA, Abdul Halim Abas pada satu majlis di sini hari ini. Sempena majlis, beliau turut menyampaikan watikah pelantikan kepada Chief De Mission (CDM) setiap kontingen Karnival Syoknya ANSARA kali ke-18 di samping penyerahan piala pusingan kejohanan oleh juara edisi terdahulu, ANSARA Kuantan.

Dengan temanya ‘Unity Through Sports’, karnival ini bakal menggabungkan warga atlet mewakili 45 kontingen terdiri daripada ahli ANSARA, guru serta kakitangan yang akan bertanding dalam 25 jenis sukan seperti bola sepak, ragbi, bola tampar, berbasikal, badminton, tenis, bowling, golf, larian serta sukan-sukan tradisional.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Karnival Syoknya ANSARA ke-18, Dato’ Sayed Alfeizal Sayed Ahmad, hampir 7,000 penyertaan telah memberi pengesahan untuk menyertai karnival ini dan bersesuaian dengan misi MARA dalam menerajui bidang keusahawanan, pendidikan dan pelaburan, karnival ini turut membuka peluang kepada usahawan ANSARA untuk mempromosikan produk sama ada dalam bentuk gerai jualan mahu pun food truck.

Turut hadir ke majlis adalah Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah Abdul Hamid Ahmad, MARA, Timbalan Presiden ANSARA, Harun Aminul Rashid Malek, serta wakil-wakil ANSARA.

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.