MRSM berbayar tidak ambil alih maktab sedia ada

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah

 

KUALA LUMPUR: Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang baharu akan dibina sekiranya cadangan penubuhan MRSM berbayar dilaksanakan dan bukannya mengambil alih MRSM sedia ada seperti yang difahami sesetengah pihak.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ramai yang keliru dengan menganggap MRSM berbayar adalah di MRSM sedia ada sedangkan yang sebenarnya cadangan terbabit adalah di MRSM baharu khusus untuk pelajar dari keluarga berada.

Katanya, jika ramai anak orang berada belajar di sekolah swasta maka tiada sebab mereka tidak boleh belajar di MRSM berbayar.

“Jadi, mereka tidak perlu berebut tempat dengan pelajar miskin luar bandar untuk mendapat tempat di MRSM sedia ada. Tempat mereka boleh diisi oleh pelajar miskin luar bandar.

“Tanggapan MRSM berbayar akan mengurangkan tempat untuk pelajar miskin luar bandar adalah salah sama sekali kerana MRSM berbayar sebenarnya akan menambah tempat untuk pelajar miskin luar bandar yang dahulunya diisi oleh pelajar anak orang berada,” katanya dalam wawancara bersama media semalam.

Pada akhir November tahun lalu, Ismail Sabri memberi cadangan kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA) supaya menubuhkan MRSM berbayar.

Ini kerana, katanya, beliau menerima banyak permintaan daripada ibu bapa berpendapatan tinggi yang anak mereka cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan mahu menghantar anak mereka melanjutkan pelajaran di MRSM.

Cadangan itu bagaimanapun mendapat reaksi berbeza daripada ibu bapa dengan ada yang bersetuju dan tidak kurang yang menolak sehingga mahu menganjurkan demonstrasi membantah cadangan berkenaan.

Ismail Sabri berkata, MRSM mendapat sambutan daripada ibu bapa apabila menerima permohonan melebihi 60,000 pelajar sedangkan institusi itu hanya mampu menawarkan tempat kepada 7,500 pelajar baharu Tingkatan Satu dan 2,000 tempat pelajar baharu Tingkatan Empat.

Katanya, statistik menunjukkan 60 peratus permohonan kemasukan ke MRSM terdiri daripada keluarga daripada kumpulan T20 (pendapatan RM11,610 ke atas) dan kumpulan M40 (pendapatan RM3,860 hingga RM8,319).

“Saya ingin memberi keutamaan kepada keluarga B40 (isi rumah pendapatan bulanan sehingga RM3,855). Dengan memberi peluang di MRSM tentu sahaja peluang untuk mengubah masa depan mereka yang lebih cemerlang akan lebih cerah,” katanya.

Beliau berkata, matlamat penubuhan MRSM adalah sebagai agen perubahan sosioekonomi penduduk luar bandar dan golongan kurang berkemampuan.

Namun begitu, katanya, kerana sistem pendidikan MARA yang merangkumi aspek rohani dan jasmani, maka institusi ini menjadi pilihan ramai ibu bapa yang menginginkan anak mereka mendapat pendidikan di sini.

“Ini termasuk ibu bapa berpendapatan tinggi yang turut mahukan anak mereka bersekolah di MRSM, sedangkan mereka sudah mempunyai kehidupan yang baik dan persekitaran pembelajaran yang kondusif di rumah mereka.

“Oleh itu, cadangan penubuhan MRSM berbayar ini hanya mengkhususkan kepada mereka yang dalam golongan berkemampuan sahaja.

“Inisiatif ini saya percaya akan membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak dari golongan berpendapatan rendah yang berpotensi digilap untuk mencapai kecemerlangan akademik, kemudian mempunyai lebih peluang untuk ke MRSM sedia ada,” katanya.

Ketika ini terdapat 52 MRSM beroperasi di seluruh negara dan mampu menampung hampir 40,000 pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima.

Sejak penubuhannya pada 1972, lebih 170,000 pelajar telah dilahirkan oleh MRSM termasuk tokoh dan pemimpin terkenal antaranya bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Bhd, Datuk Seri Shazalli Ramly; dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Datuk Kamarudin Meranun.

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/243999?m=1

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged . Bookmark the permalink.