Lengkapkan Pelajar Dengan Aspek Duniawi Dan Ukhrawi

YBhg. Datuk Ibrahim bin Ahmad bergambar bersama-sama pelajar yang telah tamat 8 bulan pengajian MADPP dan bakal menyambung pengajian di Amerika Syarikat.

YBhg. Datuk Ibrahim bin Ahmad bergambar bersama-sama pelajar yang telah tamat 8 bulan pengajian MADPP dan bakal menyambung pengajian di Amerika Syarikat.

Kuala Lumpur, 26 Januari – Pelajar yang lengkap bukan setakat memperoleh keputusan akademik yang baik malah perlu mempunyai sahsiah diri, berintegriti serta berakhlak mulia sebagai pelengkap kepada kriteria istilah pelajar cemerlang.

Begitu antara petikan YBhg. Datuk Ibrahim bin Ahmad, Ketua Pengarah MARA semasa ucapan perasmian dan penyampaian sijil kepada seramai 50 orang pelajar kohort keempat yang telah menamatkan kursus MARA American Degree Preparation Program (MADPP) di sini hari ini.

Menurut Ketua Pengarah MARA, melalui sistem pendidikan cemerlangnya, MARA akan memastikan nilai-nilai murni diterapkan kepada para pelajarnya supaya pembangunan duniawi dan ukhrawi adalah saling melengkapi.

“Kita fokus untuk melahirkan pelajar yang holistik dari aspek akademik dan siasah malah memberi penekanan kepada keusahawanan dalam pendidikan dengan graduan yang dilahirkan akan muncul sebagai pencipta peluang pekerjaan pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan sijil kepada seramai 50 orang pelajar kohort keempat yang telah menamatkan kursus MARA American Degree Preparation Program (MADPP) di sini hari ini. MADPP merupakan program di bawah seliaan subsidiari MARA MEX yang mana sejak dilaksanakan pada 2014, program ini telah berjaya melahirkan seramai 355 orang pelajar.

Mengulas lanjut, Ibrahim menyatakan para pelajar MADPP perlu memperoleh sekurang-kurangnya CGPA 3.50 ke atas bagi melayakkan mereka ditempatkan di pelbagai universiti di Amerika Syarikat dengan menjalani program persediaan selama 8 bulan di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Lenggong sebelum melanjutkan pengajian mereka di pelbagai kolej komuniti di Amerika Syarikat selama dua tahun.

“Seterusnya, mereka berpeluang menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di pelbagai universiti terkemuka di sana dalam pelbagai bidang antaranya Kejuruteraan, Matematik, Biomedical, Kewangan, Ekonomi, Sains Aktuari dan Psikologi bagi tempoh dua tahun lagi,” katanya.

Ibrahim menambah, selain MADPP, pelbagai jenis program lain seperti IB, A Level di peringkat kolej, IGCSE dan Ulul Albab di peringkat menengah di bawah MARA diwujudkan bagi memastikan pendidikan yang terbaik kepada anak bangsa dengan menumpukan kepada pembangunan modal insan berteraskan nilai murni, berkemahiran dan berpengetahuan serta berorientasikan keusahawanan.

“Kita perlu mencontohi Amerika Syarikat dalam aspek melahirkan masyarakat bercirikan keusahawanan melalui bidang pendidikan yang seterusnya menjadi mencipta pelbagai kekayaan dalam kalangan mereka memandangkan negara ini adalah hampir sama dengan kita dari sudut multiracial dan juga multicultural,” jelas beliau

Pada majlis yang sama, Ibrahim turut menyampaikan pengiktirafan kepada Emily Nadirah Eme Arizal yang mendapat Best TOEFL Achievement serta kepada Mohamad Amir Aimirul Taim selaku penerima Anugerah Best SAT Achievement.

Turut hadir adalah Mr Michael D.Quinlan, Pegawai Perhubungan Kebudayaan mewakili Kedutaan Amerika Syarikat.

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged , , , . Bookmark the permalink.