Tiada keperluan benar lulusan UEC belajar di UniKL – pengerusi

uniklpic

Tiada pelajar lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) mengikuti pengajian di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) setakat ini, kata Pengerusinya Datuk Adham Baba.Beliau berkata pada masa ini tidak terdapat keperluan untuk memberi laluan kepada lulusan UEC mengikuti pengajian di institusi milik penuh Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu.

“Walaupun sesebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) diberi kebenaran oleh Kementerian Pengajian Tinggi untuk menerima UEC sebagai kelayakan masuk, pada masa ini UEC tidak menjadi sebahagian daripada syarat kemasukan ke UniKL,” katanya selepas merasmikan majlis taklimat dan penyerahan surat pelantikan ahli jawatankuasa masjid dan surau sesi 2017-2019, di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata UniKL tidak berhasrat untuk mengiktiraf UEC bagi kemasukan ke universiti itu setakat ini.

Ismail Sabri berkata ini kerana sijil itu tidak selaras dengan falsafah pendidikan negara yang memerlukan kelulusan subjek Bahasa Melayu dan Sejarah untuk menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi awam.

Kenyataan Ismail Sabri itu menyusuli kenyataan Pengerusi MARA Tan Sri Annuar Musa pada Sabtu yang dilapor berkata UniKL mengiktiraf UEC sebagai syarat kemasukan universiti tersebut berdasarkan polisi UniKL sendiri.

Mengulas lanjut, Adham yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Pasir Raja berkata bagaimanapun UniKL turut menjadi pilihan pelajar bukan bumiputera dan luar negara kerana institusi itu menawarkan program-program yang mendapat pengiktirafan dan akreditasi daripada badan-badan akreditasi dan profesional.

Sijil UEC merupakan peperiksaan yang dikendalikan badan persendirian menerusi Gabungan Kesatuan Pengelola Sekolah Cina Malaysia, Gabungan Kesatuan Guru Sekolah Cina dan Kesatuan Alumni Cina.

– Bernama

Sumber: http://www.malaysiakini.com/news/370252

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged , , . Bookmark the permalink.