Anak Pasangan Mangsa Denggi Dibantu

denggi

KUALA LUMPUR, 23 Januari – Tiga beradik yang sekelip mata menjadi yatim piatu selepas ibu bapa mereka meninggal dunia akibat demam denggi minggu lepas terus dibantu menerusi program Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Sehati Sejiwa.

Menurut Pengerusi KPTM, Dato’ Ahmad Nazlan Idris, program KPTM Sehati Sejiwa merupakan satu inisiatif tanggungjawab sosial kolej ini dengan menghulurkan bantuan sewajarnya kepada golongan yang memerlukan seperti adik-beradik yatim piatu ini.

“Anak sulung tiga beradik ini, Nur Hidayah Azlan merupakan pelajar KPTM Ipoh, justeru kita mengambil tindakan segera melalui bantuan berbentuk wang tunai bagi meringankan beban mereka,” katanya.

Pada minggu lepas, ibu bapa beliau, Azlan Mat Din, 50 dan Normah Amirudin, 46 meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang selepas beberapa hari dirawat di unit rawatan rapi akibat demam denggi.

Ahmad Nazlan menambah, seluruh warga KPTM berasa dukacita atas peristiwa ini dan diharapkan Nur Hidayah dan adik-adik beliau tabah menghadapinya.

“Kami sentiasa cuba membantu mereka dari semasa ke semasa yang mana kita turut melancarkan kutipan sumbangan daripada warga KPTM malah saya sendiri akan menziarahi pelajar ini dalam masa yang terdekat,” katanya lagi.

Advertisements
This entry was posted in Korporat. Bookmark the permalink.