Terus Fokus Lonjakkan Ekonomi Melalui Keusahawanan

bm1a8643

Pertukaran MoU di antara Glocal Link Sdn Bhd dan NGC Energy Sdn Bhd

KUALA LUMPUR, 19 Januari –  Kerajaan melalui MARA terus fokus melonjakkan ekonomi Bumiputera melalui bidang keusahawanan termasuk di dalam bidang pembuatan dalam industri halal.

Menurut Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi, MARA kini giat memfokuskan kepada industri halal yang menjanjikan peluang pendapatan yang tinggi kepada usahawan Bumiputera.

“Industri halal perlu diteroka dengan lebih meluas oleh usahawan Bumiputera memandangkan nilai industri ini mencecah AS$2.77 trilion setahun sedangkan eksport produk halal dari Malaysia baru mencecah nilai pasaran berjumlah RM37.7 bilion setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kompleks Industri Makanan MARA (KIMAR) di sini hari ini.

KIMAR merupakan 19 ruang kilang yang disediakan bagi kemudahan usahawan Bumiputera dalam industri makanan yang mana pada tahun 2016 sahaja, usahawan-usahawan yang beoperasi di sini telah mencatat jualan mencecah RM40 juta malah mewujudkan lebih 200 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Selain daripada KIMAR, MARA turut mewujudkan Ekosistem Halal MARA meliputi Halal Park MARA di seluruh Malaysia serta beberapa pusat industri lain seperti Inkubator Teknologi Makanan serta Taman Pengeluaran Produk Usahawan (TPPU) yang menepati piawaian halal di samping menyediakan modal membeli mesin serta peralatan bagi membolehkan usahawan Bumiputera dalam industri ini mampu membawa produk mereka sehingga ke persada antarabangsa,” katanya lagi.

Sementara itu, Alexander turut melancarkan e-MarketPlace yang merupakan satu platform pemasaran secara maya bagi membolehkan usahawan KIMAR memasarkan produk mereka secara online.

Turut hadir ke majlis adalah Pengerusi MARA, Tan Sri Datuk Seri Panglima Annuar Musa, Timbalan Ketua Setiausaha KKLW, Datin Seri Elena Chiang Abdullah serta Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad.

Advertisements
This entry was posted in Usahawan and tagged , . Bookmark the permalink.