500 murid miskin, anak yatim, OKU ke MRSM

mrsm-johor

Kuala Lumpur: Seramai 500 murid cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu, daripada golongan orang kelainan upaya (OKU), miskin tegar dan anak yatim akan ditawarkan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) tahun ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, buat masa ini mereka sedang dikenal pasti sebelum menerima surat tawarannya.

“Ini antara usaha yang kita lakukan untuk membantu golongan ini kerana kita percaya nasib keluarga mereka akan berubah jika berjaya dalam pelajaran,” katanya selepas menyerahkan surat tawaran kemasukan ke tingkatan satu MRSM kepada Aliyah Maisara Md Akir di Projek Perumahan Rakyat Jelatek di sini, hari ini.

Aliyah Maisara, 13, merupakan anak pasangan suami isteri yang cacat penglihatan iaitu Md Akil Jaidin, 50, dan Paizon Mat Jari, 50.

Ismail Sabri berkata secara keseluruhan, 7,000 tempat ditawarkan bagi kemasukan ke tingkatan satu di MRSM, manakala 2,000 tempat untuk ke tingkatan empat di seluruh negara.

Beliau berkata, 64,484 permohonan diterima untuk memasuki MRSM tahun ini yang surat tawaran kepada pelajar yang berjaya akan dikeluarkan bermula 23 Januari ini, manakala 6 Februari adalah tarikh pendaftaran pelajar.

Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/197014

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged . Bookmark the permalink.