Anak Golongan Kelainan Upaya Dibantu Melanjutkan Pengajian Ke MRSM

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan surat tawaran kemasukan ke Tingkatan Satu MRSM kepada adik Aliyah Maisara Md Akir

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan surat tawaran kemasukan ke Tingkatan Satu MRSM kepada adik Aliyah Maisara Md Akir

Kuala Lumpur, 13 Januari – Pelajar cemerlang berlatarbelakangkan keluarga istimewa seperti golongan kurang upaya dan juga golongan berpendapatan rendah terus diberi perhatian utama untuk melanjutkan pengajian peringkat menengah di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Menurut Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, selaras dengan objektif penubuhannya untuk membangunkan masyarakat setempat dari sudut ekonomi dan sosial terutamanya di luar bandar, beliau akan memastikan pelajar cemerlang daripada golongan ini terus diutamakan bagi melanjutkan pengajian di MRSM.

“MRSM merupakan satu platform bagi mereka yang datang daripada golongan ini yang mempunyai potensi untuk terus maju, justeru, kita akan terus utamakan golongan ini kerana melalui pendidikan terbaik yang diterima di MRSM akan berupaya membawa keluarga mereka ke arah kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan bagi menyerahkan surat tawaran kemasukan ke Tingkatan Satu MRSM 2017 serta bantuan kewangan kepada Aliyah Maisara Md Akir di sini hari ini.

 

Aliyah Maisara Md Akir

Aliyah Maisara Md Akir

Aliyah Maisara Md Akir merupakan salah seorang pelajar yang mencatat keputusan cemerlang 6A pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016 yang mana kedua ibu dan bapanya cacat penglihatan.

“Kecemerlangan yang ditunjukkan oleh Aliyah Maisara ini jelas menunjukkan bahawa anak-anak orang kelainanan upaya mampu mencapai kecemerlangan dalam bidang yang setara dengan orang lain, justeru kita akan bantu mereka agar tidak ketinggalan kerana mereka berpotensi membantu kesejahteraan keluarga pada masa hadapan,” katanya lagi.

Sementara itu,  sebanyak 7,000 tempat ditawarkan bagi kemasukan ke Tingkatan Satu manakala 2,000 tempat untuk kemasukan ke Tingkatan Empat MRSM 2017 di seluruh negara yang mana bagi permohonan yang berjaya, surat tawaran akan mula dikeluarkan bermula 23 Januari 2017 dan 6 Februari 2017 ditetapkan sebagai tarikh pendaftaran pelajar.

“Bagi kemasukan tahun 2017 sebanyak 64,484 permohonan telah kita terima dan bagi mengetahui status permohonan ini, para pelajar atau ibu bapa boleh membuat semakan melalui portal rasmi mara di www.mara.gov.my selepas 23 Januari 2017,” jelas beliau.

Ismail Sabri berkata kecemerlangan MRSM adalah berpaksikan keterbezaan program yang menjurus ke arah piawaian dunia melalui pemerkasaan pencapaian pelajar dalam STREAM (Science, Technology, Religion, Engineering, Arts, Mathematics) dan penerapan Information & Communication Technology (ICT) dalam pedagoginya.

“Harapan kita semua agar mereka yang bakal menjadi pelajar MRSM akan mengambil peluang ini untuk terus menjana kecemerlangan demi mendapat kehidupan yang lebih baik untuk masa hadapan mereka,” jelasnya lagi.

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged , , , , . Bookmark the permalink.