MARA perlu keluar dari zon selesa

Pengerusi MARA Tan Sri Annuar Musa.

Pengerusi MARA Tan Sri Annuar Musa.

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) harus keluar dari zon selesa dan melabur dalam industri perniagaan baharu di peringkat antarabangsa yang belum diteroka usahawan Bumiputera.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata MARA bukan institusi menjana keuntungan semata-mata, sebaliknya memikul amanah dalam memacu kadar sosioekonomi Bumiputera.

Sehubungan itu, katanya, MARA perlu berdiri bersandarkan kekuatan kewangan sendiri, berbanding terus mengharap bantuan dan dana disalurkan kerajaan saban tahun.

“Penyata kewangan MARA berakhir tahun 2016 menunjukkan ia mendapat keuntungan keseluruhan bernilai RM31 juta menerusi perolehan RM1.3 bilion, namun perangkaan ini boleh ditafsirkan dalam pelbagai bentuk.

“MARA menjana keuntungan tetapi prestasinya boleh ditingkatkan jika kita mempunyai inisiatif dan kreativiti untuk meneroka pasaran perniagaan baharu di peringkat antarabangsa.

“Produk dan pasaran baharu ini boleh dibuka kepada penyertaan usahawan Bumiputera yang sebelum ini berdepan halangan untuk menembusi peringkat antarabangsa berikutan kekangan kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri `Wacana Korporat: Gagasan Menjunjung Amanah Rakyat’ di sini, petang ini.

Annuar menjelaskan, dana permulaan bernilai RM700 juta hasil sumbangan MARA dan kerajaan kini menjana keuntungan RM51 juta dalam tempoh dua tahun.

Beliau berkata, RM30 juta daripada keuntungan dana permulaan itu akan disalur untuk membiayai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ingin melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan dalam dan luar negara.

“Kita akan perkasakan usaha penajaan menerusi Skim Pelajar Cemerlang (SPC) bagi memastikan calon yang layak mendapat pembiayaan tidak tercicir daripada arus pendidikan kerana mempunyai masalah kewangan.

“Dana permulaan ini adalah gabungan sumbangan antara MARA dan kerajaan, masing-masing RM500 juta dan RM200 juta untuk manfaat melanjutkan pelajaran.

“Setakat ini, MARA menyasarkan keuntungan daripada dana permulaan berupaya menyumbang RM30 juta setahun supaya kita boleh terus membiayai pelajar tanpa perlu bantuan kewangan kerajaan,” katanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/232264?m=1

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.