Kerjasama strategik tingkatkan kualiti pelajar UniKL MIIT

 

Samratul Janin Sidal

Samratul Janin Sidal

PROGRAM mobiliti pelajar yang giat dijalankan ter­utamanya di peringkat pe­ngajian tinggi telah membuka peluang kepada pelajar untuk menerokai bidang ilmu dan sistem pendidikan baharu yang sekali gus mampu meningkatkan keupayaan diri mereka untuk lebih bermotivasi dalam mencapai kejayaan yang diimpikan.

Sebab itu, Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Information Technology (UniKL MIIT) sentiasa menggalakkan pelajarnya untuk mengambil peluang me­nyertai program pertukaran pelajar dengan mana-mana rakan universiti UniKL demi memajukan diri mereka dalam bidang akademik mahupun kerjaya.

Menurut Ketua Seksyen (Kerjasama Antarabangsa) UniKL MIIT, Samratul Janin Sidal, keunikan di UniKL MIIT, pelajar yang terpilih akan dihantar ke luar negara termasuk ke Korea untuk tempoh satu semester iaitu ketika mereka sepatutnya perlu menjalani latihan praktikal.

“Kalau di Malaysia, pelajar akan ditempatkan dengan syarikat-syarikat untuk menjalani latihan praktikal tetapi berlainan di luar negara, setiap pelajar akan ditempatkan di universiti yang merupakan rakan kerjasama UniKL.

“Walaupun tidak menjalani latihan dalam suasana bekerja sebenar, tetapi pelajar akan ditempatkan di universiti yang mampu memberi banyak kebaikan dan kelebihan kepada mereka di masa akan datang,” katanya.

Samratul Janin berkata, keba­nyakan universiti di Korea dilengkapi dengan inkubator yang membolehkan pelajar menimba dua pengalaman pada satu masa iaitu belajar dan menjalani latihan industri.

Katanya, setiap universiti di negara itu juga mempunyai ke­lebihan masing-masing, um­pamanya Universiti Semyung lebih menjurus kepada sistem pengangkutan, manakala Universiti Sungkyunkwan yang turut dikenali sebagai Universiti Samsung di atas jalinan kerjasama strategik yang erat di antara universiti itu dengan Samsung.

Tambah beliau, usaha menghantar pelajar ke luar negara juga dapat memberi mereka pendedahan berguna dan peluang untuk belajar di negara lain. Malah, jika bernasib baik, mereka juga akan ditawarkan menjadi pembantu penyelidik bagi projek-projek yang dikendalikan dengan profesor di Korea, sekali gus membuka peluang untuk mereka menyambung pengajian di peringkat sarjana ataupun doktor falsafah (PhD).

Jelasnya, pendekatan ini akan meningkatkan lagi semangat pelajar untuk menjadi insan yang lebih baik. Pengalaman yang ditimba itu juga akan dapat meningkatkan keyakinan pelajar dan membantu mereka untuk menonjolkan kebolehkan diri di masa akan datang.

Beliau berkata, pada 2016, UniKL MIIT telah menghantar 10 pelajar ke Korea, 13 ke Kemboja, satu masing-masing ke Jepun dan Indonesia yang semuanya adalah pelajar peringkat ijazah sarjana muda. Turut dihantar adalah tiga pelajar sarjana ke Itali.

“Tahun ini, kami sedang usahakan untuk menghantar 20 pelajar iaitu 10 orang ke Korea dan selebihnya ke Kemboja,” kata Samratul Janin

Nur Amira Abd Razak (kiri) dan Afiq Asnawi Norsham (kanan) bersama rakan mereka di Universiti Semyung, Korea Selatan

Nur Amira Abd Razak (kiri) dan Afiq Asnawi Norsham (kanan) bersama rakan mereka di Universiti Semyung, Korea Selatan

Sementara itu, Nur Amira Abd Razak yang terlibat dalam program pertukaran pelajar ke Universiti Semyung di Korea Selatan­ ­berkata, peluang yang diberikan itu adalah satu pengalaman berharga yang sukar dilupakan dan banyak perkara baharu yang dipelajari semasa berada di sana seperti cara mereka bekerja dan belajar ternyata berbeza dengan di Malaysia.

Katanya, pelajar-pelajar Korea lebih fokus, agresif dan sentiasa menepati waktu. Malah, mereka akan berada di kelas 10 minit lebih awal dan tidak akan memasuki kelas tersebut sekiranya sudah terlewat.

“Korea mempunyai ramai pelajar asing. Bayangkan di dalam kelas Linguistik, kami perlu mempelajari enam bahasa kerana terdapat enam pelajar asing dari berlainan negara, tetapi masing-masing mampu mempelajarinya cuma tidaklah fasih sangat,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Perniagaan (kepujian) Pengurusan Keusahawanan Komputer di UniKL MIIT itu.

Berbeza dengan Afiq Asnawi Norsham yang mendapat peluang menyambung pengajian ke pe­ringkat ijazah sarjana muda selama dua tahun di Universiti Semyung.

Afiq yang sebelum itu mengikuti program Diploma Teknologi Maklumat di UniKL MIIT berjaya menyambung pengajian dalam jurusan Sains Komunikasi dan Maklumat.

“Belajar di negara orang, kita memang perlu lebih berusaha untuk memastikan kita mampu bertahan dan saya bangga kerana mampu mencapai keputusan cemerlang pada semester lalu.

“Untuk berjaya, saya terpaksa belajar dahulu topik yang bakal diajar pensyarah di dalam kelas dan jika itu tidak membantu, saya terpaksa bertemu dengan mereka dan meminta mereka menerangkannya di dalam bahasa Inggeris.

“Lebih susah, pelajar juga perlu menyediakan laporan untuk setiap permasalahan yang dibuat di dalam makmal atau bengkel. Itulah kelainan yang memberi banyak kebaikan kepada pelajar,” kata Afiq

Sumber:https://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/kerjasama-strategik-tingkatkan-kualiti-pelajar-unikl-miit-1.428857

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged , . Bookmark the permalink.
%d bloggers like this: